Tingkatkan pengucapan awam

Tingkatkan pengucapan awam

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Pertandingan Akhir Pidato Brunei English Language Teachers Association (BELTA) ke-9 telah berlangsung hari ini di Hotel Badiah, Bandar Seri Begawan dan dijuarai oleh Awang Mohammad Azhan bin Dr Haji Airwan dari Sekolah St Margaret.

Awang Mohammad Azhan berjaya menarik perhatian penonton dengan menyampaikan pidato beliau dalam bahasa Inggeris bertajuk Kepimpinan aktif para pelajar dalam kehidupan seharian : latihan penting. Dalam pidatonya, beliau menjelaskan kepentingan kerjasama dengan tunjuk ajar seseorang pemimpin yang dapat membantu meraih kejayaan.

Beliau juga terpaksa bersaing dengan tujuh peserta lainnya untuk meraih kejayaan sebagai juara pertandingan.

Dengan kemenangan itu, beliau menerima hadiah berupa Piala Cabaran Abdul Rahman, wang tunai sebanyak $100 dan hamper buku bernilai $500 ditaja oleh CfBT.

Tempat kedua jatuh kepada Awang Al’ Amin Husaini dari Sekolah St Andrew’s menerima piala iringan, wang tunai $80 r berserta buku hamper bernilai $400 ditaja oleh CfBT diikuti tempat ketiga iaitu Goh Yi Xuan dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan menerima wang tunai $50 berserta buku hamper bernilai $300 yang juga ditaja oleh CfBT.

Juara Pertandingan BELTA ke-9, Awang Mohammad Azhan (dua dari kiri) dari Sekolah St Margaret.
Juara Pertandingan BELTA ke-9, Awang Mohammad Azhan (dua dari kiri) dari Sekolah St Margaret.

Hadiah-hadiah tersebut telah disampaikan oleh Pemangku Ketua Pengarah, Kementerian Pendidikan, Haji Abdul Rahman bin Haji Nawi bersama dengan Presiden BELTA, Datin Hajah Khadijah binti Haji Akbar.

Tahun ini sebanyak 22 sekolah telah menyertai pertandingan Pidato BELTA ke-9 dan hanya lapan peserta sahaja layak ke peringkat akhir yang berlangsung hari ini.

Sementara itu, Haji Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, “pertandingan ini bertujuan untuk menyambut dan mempamerkan pengucapan awam (public speaking) bagi memaklumi, mendidik, menghibur dan memujuk. Selain itu, ia juga memberi tambahan kepada kepimpinan dan tanggungjawab bagi pelajar menengah tinggi dengan menawarkan mereka peluang untuk mewakili sekolah mereka.

“Objektif ini juga selaras dengan Kementerian Pendidikan dalam melengkapkan pelajar kita dengan kemahiran-kemahiran abad ke-21 yang memerlukan komunikasi baik yang dapat memasarkan mereka sendiri. Kemahiran ini adalah sangat penting sebagai kelengkapan peringkat pra-universiti dan juga peringkat pengajian tinggi.”

Bahkan, pelajar memerlukan kemahiran untuk persediaan bagi Multi Mini Interviews (MMI) yang mana mereka perlu lalui bagi mendapatkan biasiswa untuk pembelajaran lanjut mereka.

ARTIKEL YANG SAMA