Tingkatkan pengukuhan akidah

Tingkatkan pengukuhan akidah

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – Penekanan terhadap pengukuhan akidah perlu mendapat perhatian sewajarnya oleh Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) selaku sebuah institusi yang mengeluarkan warga pendidik ugama.

Dalam era globalisasi yang penuh cabaran ini, kecelaruan boleh sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat akibat pemikiran luaran yang tidak dikawal dan tidak dihalang daripada peringkat awal lagi.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar berkata ini adalah antara cabaran yang boleh mengubah persepsi masyarakat terhadap Islam.

Maka itu golongan pendidikan ugama perlu memahami perubahan ini seterusnya berusaha mengurus dan menjadi pengurus yang bijaksana supaya persepsi masyarakat terhadap ajaran ugama itu adalah sentiasa betul dan di atas landasan yang lurus, tegas Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom semasa menyampaikan ucapan di Majlis Pembukaan Minggu Ta’aruf Pengambilan ke-9 KUPU SB, yang berlangsung di Dewan Tarbiyyah KUPU SB, hari ini.

Menurut beliau lagi, adalah menjadi tanggungjawab pendidik ugama untuk memberikan kefahaman dan gambaran betul mengenai ajaran ugama Islam kepada anak bangsa supaya agama Islam dengan kefahaman yang betul itu selamanya bertapak di negara ini, dan generasi masa depan juga akan menjadi generasi yang beriman, berilmu dan beramal serta bertaqwa dan berakhlak mulia.

Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom menyampaikan ucapan perasmian Minggu Ta’aruf KUPU SB.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom menyampaikan ucapan perasmian Minggu Ta’aruf KUPU SB.

Menyentuh mengenai Minggu Ta’aruf, beliau berkata ia merupakan aktiviti yang lazim diadakan sebagai sesi suai kenal dan memberi pendedahan kepada mahasiswa dan mahasiswi baru mengenai suasana kehidupan dan budaya pembelajaran di sesebuah kampus universiti.

Beliau menekankan kepada para pelajar yang terpilih bahawa pengajian yang diikuti di kolej berkenaan merupakan bidang pengajian yang berhubung kait dengan perguruan agama, iaitu bidang yang berperanan menyebar, memberi pengajaran dan memperkasa ajaran Ugama Islam melalui perguruan ugama.

Menurutnya lagi, bidang ini adalah bidang yang paling penting untuk melahirkan manusia berilmu dan beramal menurut acuan Ahli Sunnah wal Jamaah dan dalam perkara ini, di tangan guru ugama terletak harapan untuk membentuk generasi masa depan yang berilmu, beramal dan bertaqwa.

Dalam perkara ini, katanya, KUPU SB perlu komited dalam aspek pemilihan, pengambilan dan mentarbiyyah mahasiswa dan mahasiswa iaitu bukan hanya untuk mencapai tahap akademik tinggi tapi KUPU SB perlu menggalakkan malah mewajibkan mahasiswa dan mahasiswi untuk berusaha memperkaya dan memperkembangkan diri dengan pelbagai aspek kemahiran.

“Ini adalah untuk persediaan mereka apabila menjadi guru agama setelah tamat mengikuti pengajian di kolej berkenaan.”

Beliau turut menyatakan kepercayaan bahawa, hasrat ini akan tercapai dengan adanya lebih banyak inisiatif yang dilaksanakan oleh KUPU SB dalam mengembangkan potensi dan kredibiliti mahasiswa dan mahasiswi.

Dengan adanya inisiatif tersebut, jelasnya, ia adalah antara wadah berkesan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan meningkatkan kefahaman mengenai Islam terutama di kalangan penduduk negara Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA