Tingkatkan pengurusan pertahanan

Tingkatkan pengurusan pertahanan

Oleh Sim Y. H

Gambar oleh Muiz Matdani & Sim Y.H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) bertitah menekankan perlunya bagi peningkatan pengurusan pertahanan dan pembangunan keupayaan tentera ABDB bukan sahaja dalam mempertahankan keselamatan negara tetapi juga dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan, operasi kemanusiaan serta menangani ancaman-ancaman konvensional dan bukan konvensional.

“Kita masa ini tidak ketinggalan turut menjalin kerjasama pertahanan dan juga, telah terpanggil untuk menghulurkan bantuan-bantuan kemanusiaan serta operasi keamanan di luar negara.

“Ini semua tentu sahaja memerlukan peningkatan pengurusan pertahanan dan pembangunan keupayaan tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

“Keperluan ini lebih dirasakan lagi apabila sering terjadi pergolakan-pergolakan luar yang sering menggegarkan keselamatan, semua itu tidak dapat dinafikan sebagai boleh mendedahkan kita kepada ancaman-ancaman yang bersifat konvensional dan non-konvensional.”

Baginda Sultan bertitah demikian semasa Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB ke-54 yang berlangsung di Institut Latihan ABDB, Penanjong Garison, Tutong.

Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah.

pg01_150601_b

Titah Baginda, berkat kesepaduan dan komitmen seluruh rakyat dan agensi-agensi kerajaan serta peranan Angkatan Tentera yang berkesan Negara Brunei Darussalam sentiasa berada dalam suasana aman dan sejahtera.

Walau bagaimanapun, tegas Baginda, kesiapsiagaan untuk menghadapi sebarang ancaman adalah memerlukan angkatan tentera yang cekap dan lagi berkeupayaan.

Ini termasuk bagi menghadapi dan menangani kejadian-kejadian di luar dugaan yang berlaku di dalam mahupun di luar negara.

“Berlandaskan senario ini, Beta berharap Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan sentiasa waspada dan berpandangan jauh terhadap masa depan pertahanan dan keselamatan negara.”

“Kita perlu bijak membuat perancangan berupa penyediaan struktur pasukan yang lasak (robust) dan berkesan. Ke arah ini, Beta percaya inisiatif yang diambil oleh Kementerian Pertahanan dalam mengendalikan defence review adalah bertepatan dan mampu untuk menghasilkan kesan yang positif.”

Baginda bertitah menyatakan bahawa tidak dapat dinafikan kemantapan dan kesinambungan angkatan tentera adalah didokong oleh anggota-anggotanya yang mencukupi dan berkualiti.

Dalam hubungan itu, ABDB perlu mempunyai strategi pengambilan sumber manusia yang proaktif di mana ia boleh menarik minat penyertaan para belia yang berkelayakan dan celik teknologi.

Baginda turut bertitah bahawa aspek-aspek disiplin dan integriti perlu ditekankan sebagai elemen penting dalam pengurusan sumber manusia.

“Seluruh warga tentera hendaklah memperkukuhkan semangat cintakan institusi sambil menjaga imej dan nama baik Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

“Tindakan terhadap anggota yang melanggar undang-undang dan disiplin walau sekecil mana pun hendaklah dilaksanakan kerana jika tidak ia akan menjadi duri dalam daging sebagai institusi ketenteraan.

“Dalam pada itu, semua peringkat kepimpinan adalah bertanggungjawab untuk memperkasa jiwa dan kerohanian setiap anggota yang berlandaskan nilai-nilai teras Angkatan Bersenjata Diraja Brunei iaitu Takwa, Setia, Berani dan Profesional.”

ARTIKEL YANG SAMA