Tingkatkan status hoki negara

Tingkatkan status hoki negara

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Persatuan Hoki Brunei Darussalam (PHBD) baru-baru ini mengadakan majlis perlantikan bagi ahli kejurulatihan serta pengurusannya bagi tahun 2017 di salah sebuah hotel di Gadong.

Dalam ucapan alu-aluannya Presiden PHBD, Awang Mansor Haji Ibrahim menegaskan misi dan visi PHBD adalah untuk meraih kecemerlangan dan mempertingkatkan status hoki di negara ini, bermula daripada peringkat akar umbi sehingga ke peringkat senior.

Menurutnya, semua hasrat ini tidak akan dikecapi kecuali dengan sokongan padu berterusan pihak kejurulatihan dan pengurusan, selaku penggerak utama objektif persatuan dalam memajukan sukan hoki tempatan, sama ada melalui anjuran di dalam atau luar Negara.

Brunei Darussalam kini diiktiraf di kedudukan ke-68 dunia setelah penyertaan di dalam kejohanan hoki anjuran Persekutuan Hoki Asia iaitu Cabaran Asia dan Liga Dunia (pusingan pertama) Persekutuan Hoki Antarabangsa tahun lalu.

Menurutnya lagi, pencapaian ini adalah antara titik permulaan yang positif serta platform persiapan yang pro-aktif bagi semua warga hoki yang terlibat, terutamanya di dalam penyertaan Asia dan Sukan Asia Tenggara ke-29 tahun ini nanti.

Pelancaran Program Persatuan 2017 kali ini termasuk juga penyusunan program akar umbi serta kejohanan hoki tempatan yang antaranya akan berlangsung pada 30 Oktober hingga 5 November bagi Sukan Hoki Wanita Peringkat Asia.

Awang Fauzi bin Awang dilantik menjadi ketua jurulatih bagi kedua-dua skuad lelaki dan wanita kebangsaan, Henry Jonathan Baker selaku jurulatih penjaga gawang, Suharizal Suot selaku pengurus pasukan lelaki, manakala Hajah Norhayati binti Haji Latif sebagai pengurus pasukan wanita.

Perlantikan disempurnakan oleh Presiden PHBD dengan disaksikan oleh Naib Presiden PHBD, Pengiran Haji Hassan bin Pengiran Anak Haji Hashim serta ahli-ahli jawatankuasa eksekutif PHBD.

ARTIKEL YANG SAMA