Tingkatkan tahap pengajian

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Dalam usaha berterusan untuk memberikan suasana pengajian yang lebih kondusif dan berkualiti, satu ruang pengajian yang telah diubahsuai semula di Perpustakaan Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah dilancarkan, pagi tadi.

Hadir bagi merasmikan pelancaran berkenaan ialah Pengarah Urusan Yayasan, Dato Paduka Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny.

Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah YSHHB, Awang Noorhaizamdin bin Haji Mohd Mosbi semasa menyampaikan ucapan menyatakan ruang pengajian baru berkenaan menampilkan reka bentuk moden dan pada masa akan datang, ia akan dilengkapi lagi dengan sistem pengurusan perpustakaan, komputer dan kemudahan yang mencukupi.

Dato Paduka Eddie merasmikan ruang pengajian di perpustakaan sekolah tersebut.
Dato Paduka Eddie semasa berkunjung ke sudut-sudut pengajian yang telah diubahsuai.
Dato Paduka Eddie bergambar ramai.

“Kami yakin dengan adanya penambahan ruang pengajian di luar kelas ini akan meningkatkan lagi pembelajaran dan pengajian dan pada masa sama memberikan motivasi berterusan kepada pelajar untuk belajar dengan lebih baik,” kata Awang Noorhaizamdin.

Beliau menambah, meningkatkan infrastruktur sekolah dan tepatan pengajiannya adalah merupakan salah satu fokus sekolah ini.

Awang Noorhaizamdin dalam ucapannya juga turut melahirkan perasaan gembira dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pentadbiran sekolah kerana memberikan sokongan dan tunjuk ajar dalam memastikan sekolah itu dilengkapi kemudahan dan infrastruktur yang moden, terbaik dan berkualiti.