Tingkatkan tu...

Tingkatkan tumpuan, hilangkan tekanan dengan spinners

NEW YORK – Stok barang tersebut seringkali habis terjual di kedai-kedai. Para ibu bapa berebut-rebut untuk mencarinya malah beberapa buah sekolah juga telah mengharamkannya.

Kehadiran sebuah alat bernama spinners yang memiliki saiz berukuran kira-kira tiga inci dan memiliki kebolehan untuk berputar telah berjaya mencetuskan satu fenomena baru di dunia.

Alat tersebut bukan dicipta oleh syarikat yang terkemuka, tidak dikeluarkan pada musim cuti persekolahan malah tidak dipromosikan melalui iklan komersial yang disiarkan di kaca televisyen.

Selain itu, ia juga mudah didapati di kebanyakan pasaraya utama termasuk kedai runcit di stesen-stesen minyak.

“Ia laris terjual hanya dalam tempoh masa yang singkat,” jelas Richard Gottlieb, seorang pakar perunding di Global Toy Experts di New York.

Kanak-kanak setentunya berasa ceria tatkala berpeluang untuk bermain spinners yang dikatakan menjadi satu trend. – AP
Kanak-kanak setentunya berasa ceria tatkala berpeluang untuk bermain spinners yang dikatakan menjadi satu trend. – AP

Hakikatnya, spinners telah wujud sejak beberapa tahun yang lalu di mana ia sering digunakan oleh kanak-kanak autisme atau gangguan konsentrasi bagi membantu untuk meningkatkan tahap konsentrasi mereka. Namun ia mula mendapat perhatian pada musim bunga ini.

Shannan Rowell, seorang guru pendidikan khas Gred Enam menjelaskan bahawa selepas cuti selama seminggu pada penghujung April berakhir, lebih daripada 25 orang pelajarnya dapat dilihat bermain spinners di sekolah.

“Spinners itu seolah-olah menjadi tumpuan utama di dalam bilik darjah,” jelas Rowell yang menetap di Utara Graffon, Massachussets.

Gottlieb percaya bahawa ia bermula apabila salah seorang daripada kanak-kanak telah membawanya ke taman permainan di mana ia berjaya menarik perhatian kanak-kanak lain sekaligus meningkatkan minat dan hasrat mereka untuk memilikinya.

Baru-baru ini beberapa video yang dimuat naik ke laman YouTube juga telah menampilkan beberapa aksi menarik di kalangan individu yang menampilkan aksi permainan spinners tersebut dengan meletakkannya di hidung, dahi dan di kasut.

Helen Holden mula mendengar mengenai kewujudan spinners pada bulan lalu, apabila anak kembar beliau yang berusia tujuh tahun telah meminta beliau untuk singgh sebentar ke sebuah pasaraya terkemuka.

“Pada awalnya, saya hanya menjangkakan bahawa mereka terburu-buru keluar untuk membeli minuman,” jelas Holden yang merupakan seorang Naib Presiden Pegawai Bank dan Blogger dari Los Angeles.

Malangnya, spinners tersebut telah habis dijual dan beliau juga cuba untuk mencarinya di beberapa buah pasaraya terkemuka yang lain dan juga turut memberikan hasil yang sama.

“Kebanyakan pekerja kedai menjelaskan bahawa spinners tersebut cukup laris dan akan habis terjual hanya dalam tempoh masa yang singkat selepas ia disusun di rak kedai-kedai sejak Mac lalu,” jelas Holden.

Anak kembar Holden menjelaskan bahawa mereka sangat mengharapkan spinners itu sebelum cuti persekolahan berakhir agar mereka berpeluang untuk melakukan latihan terhadap permainan tersebut.

Justeru, Holden mencuba untuk mencarinya melalui pembelian secara online dan berjaya untuk mendapatkannya sebelum waktu sekolah bermula.

“Saya harus menunaikan permintaan anak-anak saya itu,” jelas beliau.

Di Funky Monkey Toys, pemiliknya, Tom Jones menjelaskan bahawa beliau mula menerima satu panggilan yang bertanyakan mengenai spinners pada April lalu.

Selepas 30 minit kemudian, satu panggilan dari pelanggan yang menjelaskan bahawa dia tidak kisah untuk membayar berapa sekalipun agar berpeluang untuk memiliki spinners.

Kini telefon tersebut mula berdering sekitar 20-30 kali sehari di mana para pelanggan seringkali bertanyakan mengenai stok spinners. Kedai beliau yang terletak di Oxford, Michigan telah menjual spinners sebanyak 150 unit pada setiap hari.

“Kami seringkali berhadapan dengan masalah kehabisan stok,” jelas Jones yang baru-baru ini telah memesan sebanyak 2,000 unit untuk dibekalkan bagi pasaran di kedainya.

Beberapa buah kedai seperti Five Below telah mengehadkan pembelian spinners hanya pada dua unit bagi setiap pembelian.

Tidak seperti kebanyakan permainan yang dikeluarkan pada musim cuti di mana ia sering dikeluarkan oleh sebuah syarikat, spinners kini lebih banyak diimport dari China di mana proses pengelua-rannya dipercayai lebih cepat.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Editor bagi ulasan permainan di TTPM menjangkakan bahawa fenomena mungkin terus bertahan sehingga musim panas dan hanya akan pudar tatkala permainan tersebut mula membanjiri pasaran yang menandakan para pelanggan telah bosan akan kehadirannya.

Seorang jurutera, Catherine Hettinger menjelaskan bahawa beliau juga pernah menghasilkan permainan yang hampir sama dengan spinners pada awal tahun 1990an, namun paten terhadap permai-nan tersebut telah mansuh sejak sedekad lalu selepas beliau menghentikan pembayaran terhadap yuran penyelanggaraan.

Hettinger yang menetap di Winter Park, Florida itu menjelaskan bahawa beliau tidak mendapat keuntungan berhubung mengenai penjualan spinners tersebut.

Kim Juszczak (dua dari kiri), seorang peguam dari New York melakukan aksi putaran spinners di dalam kereta api tatkala memikirkan mengenai hujah dan idea yang bakal diajukan bagi perbicaraan kes di mahkamah. – AP
Kim Juszczak (dua dari kiri), seorang peguam dari New York melakukan aksi putaran spinners di dalam kereta api tatkala memikirkan mengenai hujah dan idea yang bakal diajukan bagi perbicaraan kes di mahkamah. – AP
Spinners menjadi satu fenomena dan trend permainan di dunia di mana ia berjaya mendapat permintaan yang tinggi sehingga ada kalanya pihak kedai mengalami masalah kehabisan stok. – AP
Spinners menjadi satu fenomena dan trend permainan di dunia di mana ia berjaya mendapat permintaan yang tinggi sehingga ada kalanya pihak kedai mengalami masalah kehabisan stok. – AP

“Tidak ada sebarang individu yang menghubungi atau memberikan cek kepada saya. Namun saya sedar bahawa paten permainan itu telah mansuh dan ia adalah menjadi hak awam. Justeru saya memang wajar untuk tidak mengharapkan sebarang ganjaran berhubung permainan tersebut ketika ini,” jelas Hettinger.

Walaupun dipasarkan untuk dijadikan sebagai alat bantuan untuk meningkatkan tumpuan namun beberapa orang guru menjelaskan bahawa kehadiran spinners secara tidak langsung telah menjejaskan sesi pembelajaran kanak-kanak di sekolah.

Rowell, guru yang mengajar Gred Enam menjelaskan bahawa terdapat beberapa pelajar yang memutarnya dalam keadaan terlalu pantas sehingga terlanggar di antara meja, malah ada yang juga cuba untuk bermainnya di atas kepala masing-masing.

Beliau tetap memberi kebenaran kepada para pelajarnya untuk membawa permainan tersebut di dalam kelas dengan syarat kepada mereka untuk terus menumpukan perhatian terhadap sesi pengajian dan tugasan yang diberikan.

Sesetengah sekolah telah menegah para pelajar dari membawa spinners ke dalam bilik darjah. Sebuah sekolah menengah di Williamstown, New Jersey telah memberi amaran kepada para pelajar untuk sentiasa menyimpan spinners mereka di dalam beg sekolah dan tidak bermainnya di dalam bilik darjah atau lorong sekolah yang boleh menjejaskan sesi pembelajaran.

Manakala sebuah sekolah rendah di New York pula telah menasihati kepada para ibu bapa untuk sentiasa menyimpan spinners anak-anak mereka di rumah kerana ada beberapa kanak-kanak nakal yang bermainnya di bahagian muka dan khuatir boleh mencederakan mereka.

Bukan hanya kanak-kanak yang memutarnya, Gottlieb juga berpendapat bahawa orang dewasa juga turut bermain spinners sebagai terapi untuk menghilangkan rasa tekanan.

“Kebanyakan individu mula mengurangkan tabiat merokok mereka dan mencuba cara baru dengan bermain spinners sebagai terapi untuk menghilangkan tekanan,” jelas Gottlieb.

Kim Juszczak, seorang peguam dari New York melakukan aksi putaran spinners beliau yang berwarna merah dan hitam sewaktu di dalam kereta api tatkala memikirkan mengenai hujah dan idea yang bakal diajukan bagi perbicaraan kes di mahkamah.

“Saya memang merupakan seorang individu yang mudah berasa resah dan sebelum ini sering membengkokkan klip kertas dengan tangan bagi menangani masalah tersebut,” jelas Juszczak.

Beliau pertama kali mengetahui mengenai spinner di Instagram dan mula membelinya secara online. Kemudian beliau telah membeli lagi enam unit untuk diberikan kepada rakan-rakan dan ahli keluarga.

“Bermain spinners jelas dapat membuatkan seseorang itu berasa ketagihan,” jelas Juszczak. – AP