Tinjau IMT di Mindanao

Tinjau IMT di Mindanao

FILIPINA, 17 Jun – Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah telah membuat lawatan rasmi selama dua hari ke Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) di Mindanao, Republlik Filipina.

Dalam lawatan itu, Pemerintah ABDB juga disertai oleh Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al Islam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, ketibaan Pemerintah ABDB dan Pesuruhjaya Polis di Lapangan Terbang Awang, Cotabato City telah dialu-alukan oleh Pemerintah Divisyen Infantri ke-6, Mejar Jeneral Edmundo R Pangilinan dan pegawai-pegawai kanan lain dari Divisyen Infantri ke-6.

Menerusi lawatan tersebut, delegasi telah melihat lebih dekat perkembangan IMT di Mindanao, terutamanya kesejahteraan pasukan Brunei yang dihantar sejak September 2015.

Pada masa ini, Brunei IMT-12 merangkumi lapan orang anggota ABDB dan seorang anggota Polis Diraja Brunei.

Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih dan Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jammy bergambar ramai dengan pasukan IMT di Mindanao, Filipina.
Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih dan Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jammy bergambar ramai dengan pasukan IMT di Mindanao, Filipina.

Pemerintah ABDB dan Pesuruhjaya Polis turut mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Misi IMT, Mejar Jeneral Datuk Wira Zamrose bin Mohd Zain semasa lawatan mereka ke Ibu Pejabat IMT.

Mereka telah diperkenalkan kepada anggota IMT dan dikemaskinikan mengenai situasi terkini di Mindanao.

Delegasi berkenaan juga melawat Kontinjen IMT Brunei Darussalam di Tapak Pasukan 1 dan mendengar taklimat ringkat mengenai situasi terkini yang disampaikan oleh Ketua Kontinjen Brunei, Leftenan Kolonel Azman bin Haji Bangkol.

Rombongan mendengar taklimat ringkas di Tapak Pasukan 1.
Rombongan mendengar taklimat ringkas di Tapak Pasukan 1.
Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih semasa pertemuan dengan Mejar Jeneral Datuk Wira Zamrose.
Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih semasa pertemuan dengan Mejar Jeneral Datuk Wira Zamrose.
Pemerintah ABDB dan Pesuruhjaya Polis mengadakan kunjungan hormat kepada Mejar Jeneral Datuk Wira Zamrose semasa lawatan mereka ke Ibu Pejabat IMT.
Pemerintah ABDB dan Pesuruhjaya Polis mengadakan kunjungan hormat kepada Mejar Jeneral Datuk Wira Zamrose semasa lawatan mereka ke Ibu Pejabat IMT.

Semasa lawatan ini, Pemerintah ABDB dan delegasi juga berpeluang menyampaikan sumbangan berbentuk Al-Quran dan kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, khususnya kepada rakyat Mindanao di Masjid Utama.

Lawatan mereka di Masjid Utama telah dialu-alukan oleh bekas ahli kongres Didagen Dilangalen dan Jawatankuasa Hal Ehwal Dakwah dan Masjid, Cotabato City, Nhorulam.Abdullah.

Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, Pemerintah ABDB, Pesuruhjaya Polis dan delegasi juga telah berpeluang berbuka puasa dan menunaikan solat Tarawih serta bersahur bersama kontinjen Brunei.

Sepanjang 12 tahun menghantar anggota beruniform ke IMT sejak 2004, Brunei Darussalam terus komited dalam memberikan bantuan ke arah keamanan dan kestabilan di rantau ini. Misi IMT telah memberikan pengalaman operasi yang meluas kepada ABDB dan Pasukan Polis Diraja Brunei.

Sehingga kini, ABDB telah menghantar 130 orang anggota ke Mindanao bagi misi pemantauan keamanan.

ARTIKEL YANG SAMA