Tinjau kebajikan saudara baru di Kg Semabat

Tinjau kebajikan saudara baru di Kg Semabat

Oleh Ampuan Irma Susanti

 

TEMBURONG, 13 Sept – Bagi meninjau kebajikan saudara-saudara baru dan golongan yang kurang berkemampuan di daerah ini, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama yang juga Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud telah mengadakan lawatan kerja ke Kampung Semabat, Daerah Temburong, pagi tadi.

Turut menyertai lawatan itu ialah isteri Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Zalina binti Haji Omar; Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Haji Azmi bin Haji Abdul Rahim; Pemangku Setiausaha MUIB, Haji Aziz bin Haji Akop; Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Hajah Siti Azizah binti Haji Musa, serta pegawai-pegawai kanan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Rombongan memulakan lawatan kerja ke kediaman Dayang Nursabariah binti Abdullah Bungka di Kampung Temada iaitu salah seorang penerima rumah bantuan Pusat Dakwah Islamiah dengan perbelanjaan Agihan Zakat Asnaf Mualaf MUIB pada bulan April 2016 yang lalu.

Dua orang anak beliau yang kini meneruskan pengajian di Pusat Pembangunan Belia, Jalan Muara dalam jurusan Teknologi Maklumat juga merupakan penerima bantuan ‘Program Pengupayaan Asnaf Zakat’ (PROPAZ) MUIB.

Sejurus selepas itu, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama dan rombongan meneruskan lawatan muhibah ke Rumah Panjang Semabat yang dialu-alukan oleh Ketua Kampung Lepong Baru, Awang Ambol Anak Bakit dan penghuni rumah panjang tersebut.

Dato Paduka Haji Abdul Mokti ketika menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima agihan zakat.
Dato Paduka Haji Abdul Mokti ketika menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima agihan zakat.
Rombongan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama bergambar ramai bersama penghuni Rumah Panjang Kampung Semabat.
Rombongan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama bergambar ramai bersama penghuni Rumah Panjang Kampung Semabat.

Kampung Semabat mempunyai kira-kira 323 orang penduduk, manakala penghuni Rumah Panjang Kampung Semabat berjumlah 62 orang dan 32 daripadanya beragama Islam.

Dalam lawatan tersebut, Dato Paduka Haji Abdul Mokti ketika ditemu bual, menyatakan rasa syukur dengan keselesaan hidup anak buah kampung yang hidup dalam keadaan harmoni dan terpeduli, di samping perkembangan pendidikan yang amat membanggakan sekali.

Katanya lagi, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui KHEU memang telah merancang beberapa perkara untuk meningkatkan lagi suasana kehidupan penduduk di Kampung Semabat ataupun rumah-rumah panjang terutama bagi mereka yang baru memeluk agama Islam supaya dapat dipeduli dan dapat diperhatikan dengan lebih teratur.

Pusat Dakwah Islamiah dan MUIB akan sentiasa memata-matai dan memantau keadaan mereka dari semasa ke semasa dengan mengadakan lawatan dan menghulurkan bantuan.

Kunjungan rombongan kemudian berakhir di kediaman Awang Abdul Aziz bin Abdul Rahman dan isteri di Kampung Kenua, yang juga penerima agihan zakat berupa bantuan kewangan bulanan dari MUIB.

Di sini, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama turut menyampaikan bantuan berupa barangan asasi dari MUIB.

Sehingga bulan Ogos tahun ini, seramai 12 orang saudara baru telah dicatatkan memeluk agama Islam, dan dengan adanya bantuan-bantuan ini para penerima diharap akan dapat memanfaatkannya dengan baik untuk menjadikan bantuan tersebut sebagai satu dakwah yang berkesan selain dapat melaksanakan ibadah dengan selesa dan sempurna.