Tinjau kehidupan penerima bantuan

Tinjau kehidupan penerima bantuan

Oleh Yusrin Junaidi

 

TEMBURONG, 1 Mei – Kesejahteraan dan kebajikan umat Islam di negara ini terutamanya asnaf fakir miskin, saudara-saudara baru dan golongan kurang berkemampuan sentiasa diberi perhatian oleh pihak-pihak berkenaan seperti Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Untuk itu, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud yang juga Naib Yang Di-pertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), hari ini mengadakan lawatan kerja ke Daerah Temburong.

Dato Paduka Haji Abdul Mokti dan rombongan mula-mula melawat rumah bekas penerima zakat, Dayang Nur Haziah binti Abdul Rahman yang membuat hasil kraf tangan dan menternak itik.

Dayang Nur Haziah merupakan antara mereka dibantu melalui wang zakat dan berjaya keluar daripada kumpulan penerima wang zakat setelah berusaha dan bergiat dalam industri kraf tangan dan menternak itik.

Beliau memulakan projek menternak itik di tanah lapang milik ayahnya selepas menerima wang zakat dan hasil wang zakat terkumpul bersama ahli keluarganya dan tunjuk ajar MUIB, beliau dan keluarganya kini berjaya merubah hidupnya yang dahulunya bergantung pada bantuan dan kini sudah berdikari.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama (tengah) ketika melawat salah sebuah rumah penerima zakat.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama (tengah) ketika melawat salah sebuah rumah penerima zakat.

Dato Paduka Haji Abdul Mokti seterusnya melawat rumah Awang Gani bin Abdullah dan Awang Muhammad Razali bin Abdullah di Kampung Batang Duri yang merupakan saudara baru dan menerima wang zakat untuk dibelanjakan bagi sewa rumah, keperluan asasi dan perbelanjaan anak.

Seterusnya, Timbalan Menteri membuat lawatan ke Rumah Bahagia di Kampung Sibut, Mukim Amo untuk beramah mesra bersama saudara-saudara baru. Pada masa ini, Rumah Bahagia berkenaan dihuni oleh empat buah keluarga bersama 18 lagi ahli keluarga mereka.

Selesai lawatan di Rumah Bahagia, Timbalan Menteri juga melawat Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Rataie, Masjid Kampung Belais.

Lawatan diteruskan ke rumah penerima bantuan zakat asnaf mualaf MUIB, Dayang Nursabariah binti Abdullah Bunga di Kampung Temada Bokok dan Dayang Nurulhuda binti Abdullah di Kampung Puni, Ujong Jalan.

Dayang Nurulhuda merupakan penerima zakat berupa bayaran sewa rumah, kewangan bulanan, perbelanjaan anak sekolah untuk dua orang dan keperluan asasi.

Di samping itu, Timbalan Menteri turut berkesempatan menyaksikan produk di bawah 1Kampung 1Produk dihasilkan oleh Majlis Perundingan Kampung Batu Apoi, Daerah Temburong.

ARTIKEL YANG SAMA