Tinjau kemajuan belia dalam Kursus ‘Cable Jointer’

Tinjau kemajuan belia dalam Kursus ‘Cable Jointer’

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Dis – Kursus Latihan ‘Cable Jointer’ anjuran Pusat Pembangunan Belia (PPB) sesi pertama kini sedang giat dijalankan di mana seramai 19 orang belia mengikuti kursus ini bermula 12 Oktober 2015.

Kursus ‘Cable Jointer’ ini dijalankan secara intensif meliputi teori dan prakti-kal selama lima bulan di PPB, Jalan Utama, Tanah Jambu dan syarikat-syarikat berkaitan eletrik selama tiga bulan.

Justeru itu, untuk meninjau perjalan-an program latihan dan tahap kemajuan para pelatih belia yang mengikuti kursus setakat ini, satu lawatan telah diadakan kelmarin.

Lawatan tersebut diketuai oleh Pemangku Penolong Pengarah Pusat Pembangunan Belia, Awang Haswandi bin Haji Osman dan disertai oleh pegawai-pegawai kanan PPB, Syarikat Amherst Envirotech selaku konsultan kursus, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Berakas Power Management Company Sdn Bhd dan beberapa buah syarikat pengusaha berkaitan elektrik yang sekali gus akan menjadi syarikat-syarikat di mana Program Penempatan Kerja selama tiga bulan dilaksanakan nanti.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPB, perlaksanaan kursus ini adalah untuk memberikan pengetahuan kepada para belia berkaitan dengan kemahiran untuk mengenali dan mempelajari jenis-jenis kabel elektrik, pembelajaran dan pemasangan kabel elektrik bervoltan rendah dan tinggi, mengutamakan dan mempraktikkan pekerjaan dalam suasana yang selamat, perlaksanaan pemeriksaan dengan kaedah yang betul serta pelbagai perkara yang berkaitan dengan kursus ini.

Bergambar ramai bersama para belia yang menyertai kursus tersebut.
Bergambar ramai bersama para belia yang menyertai kursus tersebut.

Dalam pada itu, antara lain objektif perlaksanaan kursus adalah untuk memberikan peluang pekerjaan kepada para belia yang sudah lama menganggur dan menjadikan mereka belia yang produktif melalui kursus latihan kemahiran yang ditawarkan oleh PBB.

Selain itu, ia turut memberikan kemahiran dan kelayakan yang boleh memberikan peluang pekerjaan kepada anak tempatan khususnya kepada para belia yang tidak mempunyai pendidikan formal dalam industri-industri yang mempunyai nilai pasaran tinggi, di samping untuk melahirkan para belia yang berinisiatif, berdikari, berilmu dan memiliki disiplin kerja yang tinggi dan bersedia mencurahkan diri dalam bidang sektor swasta dan awam.

Menurut kenyataan itu lagi, sepan-jang latihan kursus selama dua bulan ini, para pelatih dilihat telah menunjukkan komitmen yang begitu tinggi dalam mengikuti program latihan yang telah diaturkan dengan tekun, menghadirkan diri tepat pada waktu latihan, aktif mengikuti sesi-sesi teori, praktikal dan penilaian serta menghabiskan kursus ini sehingga tamat dengan baik demi mendapatkan hasil yang positif.

Perlaksanaan Kursus ‘Cabel Jointer ‘merupakan salah satu langkah yang diambil oleh PPB sebagai persediaan untuk membantu melahirkan lebih ramai golongan belia berkemahiran di negara ini ke arah menuju Wawasan Negara 2035.

ARTIKEL YANG SAMA