Tinjau kemajuan pelajar PLM di MOPS

Tinjau kemajuan pelajar PLM di MOPS

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 12 April – Mashhor Offshore Painting Services (MOPS) Sdn Bhd, hari ini, menerima kunjungan daripada rombongan kakitangan Jabatan Industri dan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri serta Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), di bengkelnya yang terletak di Sungai Duhon, Jalan Setia Diraja, Kuala Belait.

Kunjungan tersebut adalah bagi melihat perkembangan terkini mengenai sembilan orang pelajar dari Pusat Latihan Mekanik (PLM) yang sedang menjalani latihan industri mereka di MOPS Sdn Bhd serta beberapa buah syarikat lain yang juga menaja latihan industri bagi pelajar-pelajar IBTE yang lain.

Dalam temu bual bersama Media Permata, Pegawai Sumber Manusia MOPS, Awang Qamarul Arifin bin Abdul Rahman berkata, sembilan orang (tujuh lelaki dan dua perempuan) pelajar PLM tersebut merupakan kumpulan pertama pelajar-pelajar tahun ini yang menjalani latihan industri mereka di sana.

“Mereka akan berada di sini selama dua bulan bagi mempelajari cara-cara melakukan kerja-kerja ‘painting’ dan ‘blasting’ di mana MOPS mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam bidang tersebut,” jelasnya.

Gambar ramai delegasi bersama kakitangan MOPS dan pelajar-pelajar dari PLM.
Gambar ramai delegasi bersama kakitangan MOPS dan pelajar-pelajar dari PLM.

Tambahnya lagi, ketika kunjungan delegasi berkenaan, pelajar-pelajar ditanya mengenai apa yang telah mereka pelajari sepanjang latihan industri mereka di MOPS Sdn Bhd, sambil pelajar-pelajar menunjukkan sedikit pengetahuan teori dan praktikal mereka mengenai kursus yang diambil di PLM di sana.

“Sehingga kini, perkembangan mereka adalah baik di samping memerlukan banyak lagi masa latihan untuk menyesuaikan lagi diri mereka ke dalam bidang serta pekerjaan sebegini, dan apabila mereka habis latihan industri mereka di sini kami akan menilai dan mengambil mana-mana pelajar yang kami lihat berpotensi mampu melakukan tugas-tugas dalam bidang ‘blasting’ dan ‘painting’ ini,” jelas Awang Qamarul Arifin lagi.

Sembilan orang pelajar yang menjalani latihan industri mereka di sana telah melalui enam bulan persekolahan teknikal di PLM dan menjalani latihan industri mereka selama empat bulan di Syarikat Blue Oceanic Management System sebelum menjalani dua bulan latihan industri mereka di MOPS Sdn Bhd.

ARTIKEL YANG SAMA