Tinjau peluang perdagangan

Tinjau peluang perdagangan

Oleh Normazlina M.D & Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Normazlina M.D & Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Buat pertama kalinya, Forum Perdagangan Rusia-Brunei diadakan di negara ini bagi menggalakkan kerjasama perdagangan dan ekonomi dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Persekutuan Rusia.

Forum selama tiga hari, bermula hari ini hingga 28 Ogos, di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong itu diadakan bersempena lawatan sekumpulan wakil perniagaan Rusia ke negara ini.

Perasmian forum berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Dayang Tutiaty binti Haji Abdul Wahab selaku tetamu kehormat majlis.

Duta Besar Istimewa dan Mutlak Persekutuan Rusia ke negara ini, Tuan Yang Terutama Vladlen Stanislavovich Semivolos, dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa Persekutuan Rusia mempunyai kestabilan politik dan ekonomi, serta persekitaran perniagaan yang kondusif.

Oleh itu, melalui forum ini, perkumpulan ahli perniagaan Rusia yang terlibat akan dapat memberikan kerjasama yang erat dengan pelbagai agensi perniagaan di negara ini. Tuan Yang Terutama juga menjelaskan bahawa Rusia amat komited dengan perkongsian ekonomi yang kukuh dan akan terus menggalakkan usaha pembangunan pelbagai bidang ekonomi Negara Brunei Darussalam.

TYT Vladlen Semivolos (kiri), Dayang Tutiaty dan Victor Terusin ketika memotong kek dalam majlis resepsi meraikan delegasi ahli perniagaan Rusia, malam tadi.
TYT Vladlen Semivolos (kiri), Dayang Tutiaty dan Victor Terusin ketika memotong kek dalam majlis resepsi meraikan delegasi ahli perniagaan Rusia, malam tadi.

Delegasi dari Rusia berkenaan terdiri daripada wakil-wakil perniagaan Persekutuan Rusia dalam pelbagai bidang seperti tenaga, pembinaan dan pembangunan, pembuatan, logistik, pelaburan dan perbankan, IT dan Bioteknologi. Rombongan berkenaan juga disertai wakil-wakil syarikat minyak dan gas utama Rusia seperti E & P, Lukoil, LLC MG3, dan Rusia Company LLC NIPT; delegasi dari syarikat pembangunan dan pembinaan utama Rusia seperti Kumpulan Morton dan pembekal keselamatan mudah alih Rusia yang terkemuka seperti Ankert.

Selain itu, perkumpulan perdagangan lain termasuk Far Eastern Transportation Group (menekankan dalam perdagangan pengangkutan dan logistik), Polyot Aviation Company (mencari tempat perusahaan tempatan untuk menubuhkan bersama syarikat jet perniagaan), Avivak (syarikat Rusia yang menawarkan pengeluaran vaksin ayam ternakan), dan banyak lagi syarikat dari negara itu termasuk dalam industri penerbangan dan pelancongan.

Tuan Yang Terutama Vladlen Stanislavovich Semivolos semasa menyampaikan ucapan alu-aluan di Forum Perdagangan Rusia-Brunei, kelmarin.
Tuan Yang Terutama Vladlen Stanislavovich Semivolos semasa menyampaikan ucapan alu-aluan di Forum Perdagangan Rusia-Brunei, kelmarin.
Dayang Tutiaty semasa berucap merasmikan Forum Perdagangan Rusia-Brunei kali pertama di Hotel Antarabangsa Rizqun.
Dayang Tutiaty semasa berucap merasmikan Forum Perdagangan Rusia-Brunei kali pertama di Hotel Antarabangsa Rizqun.

Sementara itu, malam ini, delegasi dari Rusia berkenaan telah diraikan dalam Majlis Resepsi yang dihoskan oleh Tuan Yang Terutama Vladlen Stanislavovich Semivolos di tempat yang sama, dan turut dihadiri oleh Dayang Tutiaty.

Majlis tersebut diserikan dengan acara memotong kek sempena lawatan pertama delegasi perniagaan Rusia ke negara ini oleh Dayang Tutiaty bersama Tuan Yang Terutama Vladlen Stanislavovich Semivolos dan Pengarah Eksekutif Rusia Majlis Perniagaan ASEAN, Victor Tarusin.

Di samping menghadiri forum perniagaan, delegasi perniagaan Rusia yang seramai 17 orang itu juga berpeluang mengadakan kunjungan muhibah dan lawatan ke beberapa tempat di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA