Tinjau perkembangan PKBN

Tinjau perkembangan PKBN

Oleh Salawati Haji Yahya & Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mac – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat bercemar duli mengadakan lawatan kerja ke Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini, bagi melihat sendiri perkembangan Pengambilan Kelima, Program Khidmat Bakti Negara (PKBN).

Keberangkatan Baginda Sultan dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut hadir ialah, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Bahrin bin Mohd Noor, Pemangku Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Brigadier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud dan Pengarah PKBN, Kolonel (B) Pengiran Zulkifli bin Pengiran Haji Ibrahim.

Upacara di kem latihan dimulakan dengan hormat diraja, diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’ oleh para pelatih. Baginda Sultan kemudian dijunjung untuk memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada 286 orang pelatih PKBN.

Pada upacara tersebut, para pelatih turut mempersembahkan nyanyian lagu ‘Sedia Berbakti’, seni mempertahankan diri latihan jasmani, sorak PKBN di samping melakukan persembahan kawad.

Baginda Sultan berkenan dijunjung memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada 286 orang pelatih PKBN.
Baginda Sultan berkenan dijunjung memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada 286 orang pelatih PKBN.
Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama para pelatih PKBN.
Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama para pelatih PKBN.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima pesambah daripada pihak PKBN.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima pesambah daripada pihak PKBN.
Para pelatih PKBN merakamkan gambar kenang-kenangan bersama Baginda Sultan.
Para pelatih PKBN merakamkan gambar kenang-kenangan bersama Baginda Sultan.

pg04_160311_e

Baginda Sultan berkenan bergambar ramai bersama para pelatih PKBN dan keluarga mereka.
Baginda Sultan berkenan bergambar ramai bersama para pelatih PKBN dan keluarga mereka.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya dijunjung berangkat menyaksikan aktiviti Command Tasks, Rock Climbing dan Abseiling & High Ropes Challenge iaitu bidang latihan ke arah pelatih yang lebih cergas, cerdas dan penuh keyakinan diri.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Baginda Sultan dijunjung berangkat ke Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah bagi menyaksikan Pameran Mini Galeri Alumni PKBN dan seterusnya berkenan menandatangani buku lembaran kenangan PKBN. Selepas itu, Baginda Sultan berkenan menerima pesambah dan junjung ziarah.

Pameran tersebut memperlihatkan kegiatan bekas pelatih PKBN dan pencapaian mereka selepas bergelar alumni PKBN.

Di majlis itu, Baginda Sultan berkenan dijunjung beramah mesra bersama pelatih dan ibu bapa serta penjaga pelatih pengambilan kelima program berkenaan dan seterusnya berkenan menyertai sesi bergambar ramai.

Persembahan kawad daripada para pelatih PKBN pengambilan kelima.
Persembahan kawad daripada para pelatih PKBN pengambilan kelima.
Aktiviti Abseiling dan High Ropes Challenge oleh para pelatih PKBN.
Aktiviti Abseiling dan High Ropes Challenge oleh para pelatih PKBN.
Antara persembahan yang dipamerkan oleh para pelatih PKBN ketika lawatan tersebut.
Antara persembahan yang dipamerkan oleh para pelatih PKBN ketika lawatan tersebut.

pg04_160311_f

Persembahan aksi berani daripada salah seorang pelatih PKBN.
Persembahan aksi berani daripada salah seorang pelatih PKBN.

Keberangkatan Baginda Sultan itu merupakan hari bersejarah dan gembira bagi para pelatih pengambilan kelima dan ibu bapa serta penjaga di mana ini jelas memperlihatkan keprihatinan Baginda melihat pelaksanaan program yang mewujudkan belia yang seimbang dalam semua bidang termasuk ekonomi, sosial, mental, fizikal dan akhlak.

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan terus-menerus memantau keberhasilan program berkenaan yang rata-rata mendapat maklum balas positif daripada para pelatih dan ibu bapa serta penjaga.

Selain itu, kementerian juga dari semasa ke semasa memperkemaskan pendidikan belia daripada segi moral, pergaulan, khidmat sosial dan kemasyarakatan.

PKBN pengambilan kelima ini telah bermula pada 6 Disember 2015 dan akan berakhir pada 14 Mac 2016 dengan keramaian pelatih 286 orang, terdiri daripada 190 lelaki dan 96 perempuan.

Program ini antara lain bertujuan bagi menggalakkan dan mendorong belia memainkan peranan positif dan berkesan kepada masyarakat dan negara.

ARTIKEL YANG SAMA