Tinjau perkembangan pusat kesihatan baru

Tinjau perkembangan pusat kesihatan baru

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Pusat Kesihatan Lambak Kanan yang dijangka siap pada penghujung tahun ini diharap dapat memberikan perkhidmatan kesihatan yang lebih komprehensif dan berkualiti.

Menteri Kesihatan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof melahirkan harapan tersebut semasa lawatan kerja ke tapak projek pusat berkenaan di Mukim Berakas hari ini.

Lawatan dengan kerjasama pihak konsultan dan kontraktor serta pegawai kanan kementerian berkenaan adalah bertujuan meninjau lebih dekat perkembangan bangunan baru pusat kesihatan di Mukim Berakas yang akan menggantikan Pusat Kesihatan yang ada di Sungai Hanching.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, pusat itu bukan hanya memberikan perkhidmatan kepada pesakit luar di kawasan Mukim Berakas dan sekitarnya tapi ia juga turut memberikan perkhidmatan kepada bahagian Pusat Perubatan Kesihatan (Medical Centre Health – MCH) bagi Perempuan dan Kanak-Kanak.

Katanya, pusat kesihatan tersebut akan menyediakan beberapa perkhidmatan seperti fisioterapi dan perkhidmatan untuk penyakit kronik yang sudah stand down di hospital.

Gambar modal Pusat Kesihatan Lambak Kanan yang akan memberi keselesaan kepada penduduk Mukim Berakas dan sekitarnya.
Gambar modal Pusat Kesihatan Lambak Kanan yang akan memberi keselesaan kepada penduduk Mukim Berakas dan sekitarnya.
Lawatan Yang Berhormat Pehin ke tapak projek Pusat Kesihatan Lambak Kanan.
Lawatan Yang Berhormat Pehin ke tapak projek Pusat Kesihatan Lambak Kanan.
Temu bual dengan Yang Berhormat Pehin di tapak projek.
Temu bual dengan Yang Berhormat Pehin di tapak projek.

“Perkhidmatan ini adalah salah satu kesinambungan bagi rawatan-rawatan penyakit kronik yang sudah dapat dikawal seperti sudah boleh di rawat di peringkat komuniti maka ia akan di rawatan di pusat kesihatan ini bagi rawatan berterusan,” tambahnya.

Pusat kesihatan tersebut yang menelan belanja $14 juta mula dibina pada 23 Jun 2014 meliputi kawasan tapak 4.45 hektar dan dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Proses pembinaannya berjalan dengan lancar dan kini sudah 50 peratus siap.

Projek ini merupakan salah satu projek di Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke 10. Setakat ini, terdapat sebanyak 16 buah pusat kesihatan di seluruh negara yang menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan seperti Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Asasi termasuk Klinik Umum, Klinik Penyakit Kronik, Klinik Flu dan Rawatan Kecemasan; Perkhidmatan Kesihatan Ibu-ibu dan Kanak-Kanak dan Perkhidmatan Pergigian.

Selain itu, Perkhidmatan Farmasi; Perkhidmatan Pengambilan Contoh Darah, Rekod Perubatan dan lain-lain perkhidmatan seperti psikologi dan permakanan masyarakat.

Ini adalah sejajar dengan konsep “One Stop Health Care” atau Perkhidmatan Kesihatan di bawah satu bumbung yang dihasratkan bagi meningkatkan perkhidmatan yang berkualiti dan efisien serta keadaan persekitaran yang lebih selesa dan kondusif kepada masyarakat khususnya yang tinggal di kawasan tadahan pusat-pusat kesihatan berkenaan.

Turut hadir dalam lawatan itu, Setiausaha Tetap Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua pengarah, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan serta pihak-pihak yang terlibat di dalam perlaksanaan projek berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA