Tinjau perkembangan teknologi pertahanan

Tinjau perkembangan teknologi pertahanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Satu delegasi rasmi dari Kementerian Pertahanan yang diketuai oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit telah menghadiri Pameran Pertahanan (DEFEXPO) India 2016 yang diadakan di Goa, Republik India, baru-baru ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, hari ini, kunjungan itu adalah atas jemputan Menteri Pertahanan Republik India, Tuan Yang Terutama Manohar Parrikar.

Semasa majlis perasmian DEFEXPO India 2016, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz telah mengadakan pertemuan dengan TYT Manohar Parrikar.

Dalam lawatan itu, delegasi Brunei yang turut disertai Timbalan Setiausaha Tetap (Teknologi), Kapten (B) Haji Mohd Amirul Shahnoel bin Haji Mohd Noeh, telah melawat pelbagai petak pameran yang mengetengahkan kemajuan terkini dalam teknologi-teknologi pertahanan.

Sementara itu, turut menghadiri pameran berkenaan ialah Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei, Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud .

Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei diberikan penerangan di salah satu petak pameran.
Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei diberikan penerangan di salah satu petak pameran.

DEFEXPO India 2016 telah dirasmikan oleh TYT Manohar Parrikar dan merupakan pameran siri kesembilan yang diadakan setiap dua tahun dalam Sistem Keselamatan Darat, Laut dan Dalam Negeri anjuran Kementerian Pertahanan Republik India.

Pameran yang bermula dari 28 hingga 31 Mac itu disertai oleh lebih 1,000 buah syarikat pertahanan tempatan dan antarabangsa. Acara tahun ini disertai 47 buah negara berbanding 30 buah negara pada tahun 2014 di New Delhi.

Brunei Darussalam dan India telah menandatangani memorandum persefahaman mengenai kerjasama pertahanan di Brunei Darussalam pada tahun ini dan lawatan oleh Timbalan Menteri Pertahanan berkenaan, meningkatkan lagi hubungan pertahanan di antara kedua-dua buah negara.

ARTIKEL YANG SAMA