Tinjau persiapan latihan

Tinjau persiapan latihan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Latihan bagi Majlis Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah di Daerah Brunei Darussalam terus giat dilaksanakan di Padang Bomba dan Penyelamat di Berakas.

Bagi meneliti dan mengemas kini latihan awal majlis itu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan ke-69 telah membuat lawatan tinjauan ke padang berkenaan, hari ini.

Lawatan itu adalah bagi meneliti persediaan-persediaan latihan yang dijalankan di setiap daerah khususnya bagi menjunjung Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Bercemar Duli Bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di daerah ini.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN).

Yang Berhormat Pehin Haji Badaruddin ketika membuat tinjauan latihan awal di Padang Bomba dan Penyelamat.
Yang Berhormat Pehin Haji Badaruddin ketika membuat tinjauan latihan awal di Padang Bomba dan Penyelamat.

pg07_150813_b

Antara mereka yang terlibat dalam latihan bagi meraikan Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-69 tahun.
Antara mereka yang terlibat dalam latihan bagi meraikan Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-69 tahun.

Turut mengalu-alukan kehadiran Yang Berhormat Pehin ialah pemangku pegawai Daerah Brunei dan Muara, ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-69 bagi Daerah Brunei dan Muara, serta para pegawai KHEDN.

Persembahan khas di daerah ini bertema ‘Raja Gemilang Disanjung Negara’ membawa konsep kesediaan dan kesungguhan penduduk dan rakyat jelata di daerah ini dalam mencapai pembangunan yang progresif dan kejayaan berterusan.

Peserta yang terlibat terdiri daripada penuntut-penuntut sekolah dan masyarakat Daerah Brunei dan Muara, kakitangan kerajaan serta ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah di daerah ini dijadualkan pada 23 Ogos di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara.

ARTIKEL YANG SAMA