Tinjau persiapan Majlis Ramah Mesra Daerah Belait

Tinjau persiapan Majlis Ramah Mesra Daerah Belait

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 12 Julai – Sebagai persediaan menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Belait sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-70 tahun, latihan penuh acara berkenaan telah diadakan hari ini di Padang Bandaran di sini.

Hadir meninjau latihan tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Kebangsaan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-70 tahun.

Yang Berhormat Pehin dalam temu bual bersama Media Permata menyatakan bahawa tinjauan raptai hari ini adalah bagi meneliti dan memperbaiki kekurangan serta menambah baik persembahan-persembahan serta atur cara supaya raptai penuh yang akan diadakan pada 18 Julai nanti berjalan dengan lebih lancar dan sempurna.

Menurutnya, hari ini merupakan raptai pertama bagi Daerah Belait, dan selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Kebangsaan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM, tinjauan itu juga adalah untuk melihat perjalanan rancangan yang akan dilaksanakan semasa majlis ramah mesra dan junjung ziarah bersama rakyat dan penduduk di daerah ini yang akan diadakan pada 23 Julai nanti di Padang Bandaran di sini.

Menjelaskan tentang kelainan format pada tahun ini, Yang Berhormat Pehin berkata, persembahan padang seperti sebelumnya akan ditiadakan, tetapi persembahan akan diadakan di khemah-khemah yang dikunjungi oleh Baginda Sultan, mengikut kategori khemah yang telah diatur oleh jawatankuasa sambutan di daerah ini.

ATAS & BAWAH: Tinjauan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar di Padang Bandaran Kuala Belait kelmarin.
ATAS & BAWAH: Tinjauan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar di Padang Bandaran Kuala Belait kelmarin.

p04-2_20160713

“Saya berharap semua yang menyertai Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Belait nanti, akan dapat hadir dan dapat membuat persembahan pada latihan raptai penuh yang akan diadakan pada 18 Julai nanti, supaya persembahan mereka dapat disaksikan dan ditambahbaikkan jika terdapat sebarang kekurangan dan sebagainya,” ujar beliau.

Sementara itu, Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman pula memberitahu Media Permata bahawa rakyat dan penduduk di Daerah Belait telah bersemangat dan menanti-nantikan majlis ramah mesra dan junjung ziarah itu nanti.

Menurutnya, sembilan kategori khemah telah disusun bagi acara tersebut, antaranya ialah khemah warga emas, khemah orang-orang kelainan upaya, khemah mukim-mukim, seterusnya khemah menempatkan syarikat-syarikat yang terkenal di daerah ini, seperti Syarikat BSP, BLNG, BMC serta BGC, ka-tegori masyarakat antarabangsa, kumpulan khemah angkatan tentera dan Gurkha, penuntut-penuntut Daerah Belait, dan diakhiri dengan khemah kumpulan peserta Khatam Al-Quran 70 kali Khatam sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-70 tahun.

Susunan khemah-khemah bagi majlis tersebut, ujar beliau, bersesuaian dengan temanya sambutan tahun ini, “Raja Tersohor, Negara Makmur, Rakyat Bersyukur”.

Dalam temu bual itu, Haji Haris turut menyeru semua penduduk di daerah ini supaya dapat mengibarkan bendera di rumah masing-masing sebagai tanda kasih sayang dan taat setiap kepada raja yang dikasihi, selain menyeru supaya memberikan kerjasama mematuhi arahan-arahan pihak keselamatan pada majlis itu nanti, demi menjaga keselamatan semua pihak yang berkenaan.

Turut hadir dalam tinjauan berkenaan ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara bagi Daerah Belait, Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai di KHEDN dan Jabatan Daerah Belait serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Perayaan bagi Daerah Belait.