Tinjau program belia di Korea

Tinjau program belia di Korea

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Pelaksanaan program belia dan kegiatan-kegiatan yang dikendalikan di Pusat Belia Korea diharap dapat diketengahkan serta dibincangkan untuk meningkatkan lagi program belia yang dikendalikan di Brunei.

Harapan itu disuarakan oleh Pemangku Penolong Ketua Pegawai Belia dan Sukan serta Ketua Rombongan Program Pertukaran Belia Brunei dan Korea, Syed Abdul Mu’iz bin Syed Anayatullah Shah dalam temu bual bersama Media Permata sebelum berlepas menyertai Program Pertukaran Belia Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea, di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.

Menurut Syed Abdul Mu’iz lagi, semasa program pertukaran itu, rombongan Brunei akan mengadakan lawatan ke beberapa tempatan menarik dan bersejarah di Korea serta akan berpeluang melawat pusat belia yang mempunyai program belia dan kemudahan bertaraf dunia.

Beliau menyatakan harapan, melalui penyertaan dalam pelbagai program belia itu, mereka bukan sahaja diberikan pendedahan kepada budaya Korea tetapi juga menyaksikan sendiri program-program dan kemudahan yang disediakan di pusat belia Korea berkenaan.

Dari pengalaman yang diperoleh itu, beliau menyatakan bahawa rombongan belia akan mengongsi pengalaman yang diperoleh dan memberikan cadangan mengenai amalan atau kaedah yang boleh dilaksanakan di Brunei untuk meningkatkan lagi mutu program belia negara.

Awang Zafri, pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan berserta ahli-ahli rombongan program pertukaran belia bergambar ramai.
Awang Zafri, pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan berserta ahli-ahli rombongan program pertukaran belia bergambar ramai.

Di samping lawatan yang dikendalikan, salah satu acara yang menjadi tarikan, jelas Syed Abdul Mu’iz, ialah pertunjukan dan perkongsian budaya ahli rombongan Brunei di mana mereka bukan sahaja akan menunjukkan tarian kebudayaan tetapi juga mengongsi makanan tradisional dengan rakan-rakan belia dari Korea.

Program pertukaran belia itu disertai oleh seramai 10 orang wakil belia yang terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, graduan-graduan Universiti Brunei Darussalam (UBD), Sekolah Vokasional Wasan, guru sekolah swasta, penuntut Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal dan mahasiswa UBD.

Rombongan berkenaan akan berada di Korea selama 10 hari hingga 29 April di mana sepanjang program itu, mereka akan membuat lawatan ke National Museum of Korean Contemporary History, Gangneung Youth Centre, tempat-tempat bersejarah di Gangneung dan Pyeongchang serta melakukan kegiatan-kegiatan bersama belia-belia Korea dan mengambil bahagian dalam program inap desa bersama keluarga angkat. Hadir untuk mengucapkan selamat berlepas dan memberikan kata-kata nasihat kepada rombongan ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Awang Zafri Haji Mohammed. Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan serta keluarga ahli-ahli rombongan berkenaan.

Penyertaan Brunei dalam program pertukaran belia itu merupakan penyertaan kali keenam untuk negara di mana ia merupakan program di bawah Perjanjian Persefahaman antara Brunei dan Korea pada 2009 yang bermatlamat untuk membantu dan mengukuhkan lagi kerjasama di antara kedua-dua buah negara. Program itu juga dihasratkan untuk meningkatkan persefahaman dan kepercayaan kedua-dua belah pihak melalui penyertaan belia dalam program pertukaran itu. Menerusi usaha pertukaran belia berkenaan, kedua-dua belah pihak percaya belia-belia akan memperoleh faedah daripadanya seperti persefahaman kebudayaan, sosioekonomi dan politik.

ARTIKEL YANG SAMA