Tinjau sektor pertanian

Tinjau sektor pertanian

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong, hari ini, telah mengadakan lawatan kerja ke AE Asia Agri-Mart Sdn Bhd, pembekal satu hentian bagi bekalan dan peralatan pertanian dan perladangan di negara ini.

Rombongan Kementerian sekitar 15 orang pegawai itu turut disertai oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

Lawatan itu merupakan kali ketiga bagi Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali pada hari ini, yang awal daripada itu telah membuat lawatan kerja ke sebuah ladang ayam dan sebuah ladang berpotensi lain di Kampung Batang Mitus.

AE Asia Agri-Mart Sdn Bhd di Simpang 502, Jalan Bengkurong Masin yang bakal dibuka tidak lama lagi merupakan syarikat pembekal industri pertanian seperti benih, baja, racun perosak dan peralatan pertanian satu hentian bagi para petani dan mereka yang gemar bercucuk tanam.

Menurut Pengarah Agro-Mart Sdn Bhd, Chai Yum Fatt, tapak binaan seluas 80,000 kaki persegi syarikat itu didirikan di atas kawasan seluas lima ekar dan pembinaan projek tersebut dibahagikan kepada dua fasa.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali dibawa melawat di salah satu ladang milik syarikat itu.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali dibawa melawat di salah satu ladang milik syarikat itu.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bertanyakan sesuatu kepada Awang Chai Yum Fatt.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bertanyakan sesuatu kepada Awang Chai Yum Fatt.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali menerima cenderahati berupa buah-buahan dan sayur-sayuran daripada Awang Chai Yum Fatt.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali menerima cenderahati berupa buah-buahan dan sayur-sayuran daripada Awang Chai Yum Fatt.
Awang Chai Yum Fatt menerangkan mengenai produk-produk yang dihasilkan oleh syarikatnya kepada Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali.
Awang Chai Yum Fatt menerangkan mengenai produk-produk yang dihasilkan oleh syarikatnya kepada Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali.

Katanya, fasa pertama yang terdiri daripada pembinaan empat buah bangunan telah pun siap dibina, dengan mengandungi sembilan dewan pameran produk pertanian, bilik pembungkusan baja, bilik stor dan bilik untuk kegunaan lain, manakala itu, fasa kedua yang bakal siap tidak lama lagi mengandungi dewan pameran produk pertanian, bilik persidangan, ruang pejabat dan perpustakaan.

“AE Asia Agri-Mart Sdn Bhd merupakan pembekal satu hentian bagi mendapatkan produk serta barang keperluan pertanian seperti baja, racun serangga perosak, mesin dan peralatan pertanian, biji benih, pasu bunga, jaring bangsal pertanian, peralatan memancing dan produk lain yang berkualiti.

“Syarikat ini dihasratkan untuk menjadi pembekal peralatan dan produk pertanian paling lengkap dan terbesar di Brunei bagi menyediakan kemudahan bercucuk tanam dan pertanian,” kata beliau ketika ditemu bual.

Menurut beliau lagi, matlamat utama AE Asia Agri-Mart Sdn Bhd adalah untuk mempromosi pembangunan bidang pertanian dan memberikan sokongan kepada usaha kerajaan dalam membantu peladang tempatan.

ARTIKEL YANG SAMA