Tinjauan kursus ibadat haji

Tinjauan kursus ibadat haji

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mei – Bakal-bakal jemaah haji yang terpilih bagi menunaikan ibadat haji tahun ini, kini sedang mengikuti Kursus Ibadat Haji yang telah bermula pada 14 Rejab 1437H/22 April 2016 dan akan berakhir pada 22 Syaaban 1437H/29 Mei ini.

Sehubungan itu, tinjauan bagi memastikan kursus-kursus berjalan dengan baik telah diadakan hari ini oleh Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud ke atas Pusat Kursus Ibadat Haji di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam, Kampung Mulaut dan Sekolah Ugama Lambak Kanan.

Tinjauan sama juga telah diadakan di Daerah Temburong oleh Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Harun bin Haji Junid di Sekolah Persediaan Arab Temburong.

Antara pusat-pusat Kursus Ibadat Haji lain ialah Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah; Sekolah Ugama Sungai Besar; Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien; dan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Norain.

Pemangku Pengarah Jabatan Urusan Haji, Haji Abdullah bin Haji Mohammad, semasa ditemui pihak media menjelaskan, tinjauan itu bertujuan untuk memastikan kursus-kursus Ibadat Haji yang diadakan bagi bakal jemaah haji yang terpilih bagi tahun ini berjalan dengan baik dan lancar dengan mengikut sukatan-sukatan dan minggu yang dijadualkan.

Dato Paduka Haji Abdul Mokti (tengah), dan Haji Abdullah (kanan) ketika mengadakan tinjauan Kursus Ibadat Haji bagi bakal jemaah haji Tahun 1437H/2016M di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam, Kampung Mulaut.
Dato Paduka Haji Abdul Mokti (tengah), dan Haji Abdullah (kanan) ketika mengadakan tinjauan Kursus Ibadat Haji bagi bakal jemaah haji Tahun 1437H/2016M di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam, Kampung Mulaut.

pg05_160514_b

Antara bakal jemaah haji yang menghadiri kursus tersebut, kelmarin.
Antara bakal jemaah haji yang menghadiri kursus tersebut, kelmarin.

Kursus Ibadat Haji ini, jelasnya, diadakan sebanyak 10 kali dan menerusi kursus itu, diharap para jemaah haji akan dapat memahami sepenuhnya mengenai perlaksanaan manasik ibadah haji dengan teratur dan sempurna mengikut syarak.

Tinjauan ini juga memberikan peluang kepada bakal jemaah haji untuk berinteraksi bersama Dato Paduka Haji Abdul Mokti.

Beliau menjelaskan lagi bahawa setakat ini, kuota ibadah haji bagi negara ini masih lagi seramai 400 orang dan para jemaah haji dijangka akan bertolak ke Tanah Suci pada pertengahan bulan Zulkaedah.

Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama juga mengingatkan dan memaklumkan kepada para bakal jemaah haji yang terpilih bagi tahun ini bahawa Pembayaran Pakej Haji ke Syarikat Operator Haji masih dibukakan pembayarannya dan akan berakhir pada hari Isnin, 23 Mei ini.