Tips kewangan sebelum kelahiran cahaya mata

Tips kewangan sebelum kelahiran cahaya mata

MENUNGGU kelahiran anak damit secara lazimnya membawa kegembiraan yang tidak terhingga dan malah ia menimbulkan kekeliruan.

Kita kerap lupa bahawa lahirnya seseorang anak itu memerlukan anda melihat semula perbelanjaan anda bersama pasangan kerana perbelanjaan ketika berdua tidak sama setelah kelahiran cahaya mata baru itu.

Jika anda tidak membuat persiapan dari segi kewangan, situasi perbelanjaan akan teruk terjejas dan mungkin akan meragut kegembiraan menyambut kelahiran anak damit.

Oleh itu, persiapan secara menyeluruh adalah penting bagi menghindari situasi malang itu.

Di bawah ini ada beberapa persiapan yang mungkin dapat membantu anda untuk mempersiapkan diri sementara menunggu kelahiran ahli keluarga baru.

Semakan bajet

Menerima anak damit ke dalam kehidupan berkeluarga merupakan satu perubahan gaya hidup yang besar, oleh itu sebagai permulaan anda perlu membuat semakan pada status kewangan atau bajet anda.

Kesemua aktiviti bajet anda perlu disemak, dan setiap kali ada masa dan idea, anda perlu membincangkan mengenainya dan mencari jalan bagaimana anda dan pasangan anda boleh mengubahnya ke arah yang lebih efisien, setentunya tanpa mengabaikan kesihatan dan kualiti hidup.

Sebagai contoh, dalam tempoh lapan bulan kebelakangan itu anda cuba bayangkan seolah-olah anda dan pasangan anda menjalani kehidupan sehari bersama ‘anak damit’ anda. Maka itu boleh membantu anda untuk menyesuaikan diri dalam perancangan bajet.

Dana kecemasan

Apa yang penting adalah anda bersedia dalam menghadapi sesuatu yang buruk kerana dalam hidup ini tidak kira bagaimana rapi kita merancang sesuatu itu, perkara yang tidak disangka-sangka kerap terjadi.

Apatah lagi jika sesuatu itu menjejaskan situasi kewangan keluarga anda.

Oleh itu adalah sangat penting untuk anda menyediakan satu dana kecemasan agar ketika menyambut kelahiran baru itu anda akan berasa tenang tanpa memikirkan masalah kewangan yang mungkin datang tiba-tiba.

Pakaian untuk si comel anda

Pakaian-pakaian untuk anak damit memang comel, malah mempunyai pelbagai pilihan warna, yang menjadikannya lebih menarik.

Memang sukar untuk menahan diri daripada tidak membeli kesemua pakaian-pakaian comel itu untuk anak damit anda.

Mungkin dengan membuat satu senarai boleh membantu anda membeli pakaian si comel anda dengan lebih teratur agar tidak terlebih berbelanja dari segi pakaian.

Dan dengan membuat tinjaun ke beberapa buah kedai mungkin dapat membantu anda membandingkan harga dan kualiti pakaian anak damit yang dijual.

Bagi mengurangkan beban kewangan anda, belilah dua atau tiga pasang sebulan, berbanding sekali gus membeli banyak.

Keperluan masa depan

Terakhir, adalah lebih baik untuk membuat persiapan awal, kebanyakan orang hanya mula membuat persiapan untuk merancang perbelanjaan untuk masa depan selepas anak dilahirkan.

Dengan cara membuat persiapan dari segi kewangan dan bajet sebelum lahirnya anak damit, ia boleh membantu anda mengumpulkan wang yang lebih banyak dan tidak memberikan impak yang besar ke atas keadaan kewangan masa depan.

Bahkan ia juga boleh membantu mengurangkan tekanan anda daripada memikirkan status kewangan anda.

Menerima kelahiran cahaya matamerupakan satu saat yang menakjubkan, lakukan sebaiknya dalam mengekalkan perasaan gembira itu daripada diragut oleh mana-mana isu kewangan.

ARTIKEL YANG SAMA