Titah KDYMM disambut baik dan positif

Titah KDYMM disambut baik dan positif

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Feb – Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 tahun pada hari ini, menerima reaksi positif daripada rakyat, penduduk serta komuniti peniaga di negara ini.

Seruan titah Baginda Sultan supaya rakyat negara ini menunjukkan semangat perpaduan dan patriotik yang lebih tinggi agar keamanan yang dikecapi kini akan berterusan, menerima sambutan reaksi positif daripada beberapa orang peniaga warga tempatan dan luar negara.

Seorang kakitangan Kementerian Pertahanan, Haji Jumat bin Myassin, 57, berkata sambutan Hari Kebangsaan pada kali ini dan tahun-tahun sebelumnya mewujudkan rasa megah dan mencetuskan semangat baru kepada diri beliau dan keluarganya untuk berusaha lebih gigih memperbaiki lagi kehidupan beliau sekeluarga.

Haji Jumat yang juga sudah 10 tahun mengusahakan gerai makanan dan minuman bersama isterinya di Bangunan Sumbangsih, Beribi untuk meraih pendapatan sampingan berpendapat, setiap orang perlu menyahut titah Baginda Sultan dan kerajaan sebagai satu cabaran yang harus ditempuhi supaya kejayaan yang diraih mereka kelak akan juga merupakan satu bentuk sumbangan mereka kepada negara.

Katanya, semangat patriotisme perlu dipupuk dalam jiwa anak-anak muda supaya kekal menjadi perangsang untuk perasaan cintakan tanah air dan sebagai pendorong bagi mereka mengecap kesejahteraan dalam kehidupan bernegara.

Haji Jumat ketika ditemui di gerainya.
Haji Jumat ketika ditemui di gerainya.

Perasaan sama diluahkan oleh Mohamed Zackariya, seorang pengusaha warga asing yang sudah 20 tahun menjalankan perniagaan restoran dan kedai runcit di Kampung Telanai dan Sengkurong.

Beliau yang berasal dari India dan pertama kali menjejakkan kaki ke Negara Brunei Darussalam pada Jun 1996 mengakui, keadaan keselamatan negara ini yang aman dan harmoni tanpa kekacauan adalah faktor utama yang diambil kira sebelum menjalankan sebarang bentuk perniagaan.

Bagi dirinya, kesejahteraan kehidupan di Brunei dan usaha gigih beliau untuk mencari rezeki di negara ini melalui perniagaan sendiri telah mencerahkan lagi kehidupan beliau sekeluarga sehingga berjaya mendirikan sebuah rumah di kampung halamannya dengan hasil usaha beliau di negara ini.

“Sepanjang 20 tahun menetap di negara ini, saya sentiasa selamat dan walaupun perniagaan saya ada turun naiknya, mungkin kesan faktor kenaikan harga dan masalah bekalan barangan, pada keseluruhannya suasana kehidupan di sini dan sistem pentadbiran negara ini menjadikan Negara Brunei Darussalam tempat yang ideal untuk menjalankan perniagaan seperti ini,” katanya ketika ditemui.

Turut memberikan pandangan ialah bekas kakitangan Kementerian Kesihatan yang berasal dari Kuala Belait, Haji Duraman bin Haji Julaihi, 62 tahun, yang menyambut baik titah Baginda Sultan supaya rakyat dan penduduk negara ini, terutama golongan remaja mempertingkatkan semangat patriotisme terhadap raja dan negara.

Beliau berpendapat, adalah penting semangat patriotisme itu ada dalam diri setiap orang kerana apabila sudah kukuh di dada mereka barulah perasaan cintakan negara dan kegigihan berusaha itu dapat ditumpukan untuk memajukan lagi negara ini.

Beliau turut mencadangkan supaya program-program seperti Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Belia Masjid serta program kendalian organisasi bukan kerajaan lain yang membabitkan penyertaan para remaja tempatan diperhebatkan lagi dengan memberikan lebih tumpuan kepada pengisian-pengisian berkaitan kenegaraan yang lebih berbentuk kerohanian.

Beliau memberikan pandangan positif terhadap sikap dan pemikiran anak-anak remaja tempatan pada masa ini yang pada keseluruhannya tidak lagi memilih pekerjaan dengan semakin ramai belia tempatan kini mula mengambil alih bidang-bidang pekerjaan yang dahulunya dimonopoli oleh pekerja warga asing.

Walaupun masih banyak lagi ruang-ruang kehidupan di negara ini yang boleh diperbaiki lagi dalam mengejar hasrat menjadi sebuah negara maju melalui Wawasan 2035, Haji Duraman berpuas hati dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan, khususnya Baginda Sultan, untuk pembangunan dan kemajuan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara moden yang aman dan sentosa.

ARTIKEL YANG SAMA