Tite ambil alih tugas Dunga

Tite ambil alih tugas Dunga

SAO PAULO, 16 Jun (AFP) – Bos Corinthians, Tite dinamakan sebagai pengendali baru Brazil bagi menggantikan Dunga yang baru sahaja dipecat selepas pasukannya dimalukan apabila tersingkir awal daripada saingan Copa America Centenario.

“Tite tidak lagi bekerja di Corinthians. Dia menerima jemputan daripada Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF),” kata presiden kelab yang berpangkalan di Sao Paulo itu, Roberto de Andrade.

Tite, 55, mengetuai Corinthians mengecapi kejayaan berganda menjuarai Copa Libertadores dan Piala Dunia Kelab 2012.

Dia mengambil alih tugas daripada bekas kapten Brazil, Dunga, yang gagal memulihkan reputasi Brazil selepas kekalahan memalukan 7-1 di laman sendiri kepada Jerman di separuh akhir Piala Dunia 2014.

Brazil berusaha mencari rentak untuk menjadi hos Sukan Olimpik, di mana mereka tidak pernah meraih emas, dan agak hambar dalam kempem kelayakan Piala Dunia 2018.

Tite mengambil alih tugas Dunga yang dipecat baru-baru ini. – AFP
Tite mengambil alih tugas Dunga yang dipecat baru-baru ini. – AFP

Tetapi Dunga yang diharapkan untuk mengubah nasib Selecao selepas diaibkan Jerman pada Piala Dunia di laman sendiri, gagal untuk memberikan sentuhan juara.

Tite atau nama sebenarnya Adenor Leonardo Bacchi, terus menjadi sebutan umum sebagai pengemudi Brazil selepas Dunga dan keseluruhan kakitangannya dipecat Selasa lalu, dan presiden kelab Corinthians mengesahkannya.

Ketika bersama Corinthians, Tite berjaya membawa skuad menjulang tiga trofi iaitu gelaran liga Brazil pada 2011 dan 2015 dengan Copa Sudamericana pada 2013. Pada 2012 beliau berjaya membimbing pasukan memenangi Copa Libertadores dan Piala Dunia Kelab.

 

ARTIKEL YANG SAMA