Titian Seni k...

Titian Seni ketengahkan pelukis tempatan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Sebanyak 48 lukisan hasil karya 33 orang pelukis tanah air dipamerkan semasa Program Titian Seni Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di Balai Pameran DBP di ibu negara bermula hari ini hingga 26 Februari 2017.

Program Titian Seni itu telah dirasmikan oleh Pemangku Pengarah DBP, Hajah Nortijah binti Haji Mohd Hassan.

Dalam era teknologi terkini, para pelukis berlumba-lumba meningkatkan kemahiran melalui penggunaan komputer dalam kerja harian tapi cara konvensional masih dipraktikkan kerana nilai seninya yang masih relevan.

Sehubungan itu, dalam sama-sama menyokong kemeriahan Program Bandarku Ceria, DBP mengambil langkah mengadakan program berkenaan yang mempamerkan karya-karya seni lukis pelukis tempatan.

Ia sebagai satu simbolik ke arah mewujudkan laluan yang menghubungkan pertemuan dan merapatkan jalinan generasi muda dan veteran untuk berkongsi ilham, kemahiran dan pengalaman seterusnya melakar keindahan, mencorakkan kreativiti dan mewarnai khazanah seni tanah air yang akan menjadi ristaan pada masa akan datang.

Antara karya lukisan yang dipamerkan dalam Program Titian Seni berkenaan.
Antara karya lukisan yang dipamerkan dalam Program Titian Seni berkenaan.
Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk melihat dan merakam gambar dengan hasil karya lukisan pelukis tempatan.
Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk melihat dan merakam gambar dengan hasil karya lukisan pelukis tempatan.

Antara lain objektif pameran adalah untuk menggalakkan pelukis-pelukis tempatan bergiat aktif meningkatkan produktiviti, kuantiti dan kualiti dalam menghasilkan karya seni lukis selain melahirkan dan mencungkil seterusnya mengetengahkan pelukis muda yang berbakat.

Di samping mempamerkan hasil lukisan pelukis tempatan, pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti bagi memeriahkan program berkenaan seperti Seni Khat Jawi, Mewarna Bandarku Ceria dan jualan.

Program Titian Seni dibuka untuk kunjungan orang ramai dari pukul 9 pagi hingga 4 petang pada waktu bekerja manakala itu, pada hari Jumaat ia dibuka dari pukul 2 petang hingga 4 petang dan Ahad dari 8 pagi hingga 4 petang.