Titik berat keselamatan di tempat kerja

Titik berat keselamatan di tempat kerja

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Kesedaran terhadap keselamatan bekerja menggunakan aram-aram di tempat tinggi adalah beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian oleh pekerja apabila menggunakannya dalam kerja harian mereka.

Sehubungan itu, sebuah syarikat yang mengendalikan kursus dan latihan keselamatan, ATDC Sdn Bhd, hari ini, telah menganjurkan Taklimat Keselamatan Menggunakan Aram-aram dan Bekerja di Tempat Tinggi, di Galeri Pameran Ekspo Binaan dan Bangunan Brunei Pertama, Build 2016, Stadium Tertutup, Kompleks Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Taklimat yang diadakan pada hari terakhir ekspo itu dihadiri para pelajar dari Universiti Brunei Darussalam, Universiti Teknologi Brunei, Politeknik Brunei dan beberapa kolej teknikal yang lain.

Menurut penyampai taklimat, Haji Jafar Ali bin Haji juli, aspek penting yang beliau sentuh pada taklimat itu ialah kesedaran terhadap keselamatan dan risiko sekiranya kesedaran itu tidak diendahkan maka ia akan menjadi kecuaian kepada seseorang pekerja.

Haji Jafar Ali menerangkan mengenai ciri keselamatan menggunakan aram-aram.
Haji Jafar Ali menerangkan mengenai ciri keselamatan menggunakan aram-aram.

Beliau yang juga Konsultan dan Jurulatih Keselamatan ATDC Sdn Bhd, seterusnya mendedahkan kepada para hadirin mengenai tahap kekuatan yang mampu ditanggung oleh jenis aram-aram yang digunakan.

Selain itu, Haji Jafar Ali juga menjelaskan mengenai situasi bekerja di tempat tinggi serta kelengkapan keselamatan yang diperlukan untuk tugas sebegitu serta panduan mengenai cara mengendalikan kemalangan yang berlaku di tempat kerja.

Ketika ditanya mengenai piawaian keselamatan di tempat kerja yang diamalkan di negara ini, beliau berkata, apa yang diamalkan di negara ini ialah amalan terbaik yang digunakan oleh beberapa negara termasuk yang digunakan pada masa ini, iaitu standard United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia.

ATDC Sdn Bhd adalah salah sebuah anak syarikat Kumpulan Syarikat Adinin yang mengendalikan pelbagai kursus dan latihan keselamatan, teknikal, pengurusan di dalam dan luar negara.

ARTIKEL YANG SAMA