Titik berat pelbagai kerjasama dalam semua sidang kemuncak

Titik berat pelbagai kerjasama dalam semua sidang kemuncak

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi, berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-18; Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea ke-17 dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-7 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Malaysia.

Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-18

Dalam Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun, yang dihadiri oleh ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN; Perdana Menteri Jepun; Tuan Yang Terutama Shinzo Abe dan Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Le Luong Minh, Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah selaku Negara Penyelaras bagi Hubungan ASEAN-Jepun.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia antara lain bertitah menekankan kepentingan untuk menyejajarkan perkongsian strategik dengan keutamaan-keutamaan Visi Komuniti ASEAN 2025.

Adalah penting bagi ASEAN untuk terus membangunkan dan mengamalkan prinsip perkongsian ‘hati ke hati’ (heart to heart).

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat bersama ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN lainnya menghadiri persidangan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Malaysia. - Infofoto
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat bersama ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN lainnya menghadiri persidangan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Malaysia. – Infofoto

pg04_151123_b

Titah Baginda, bidang kerjasama dan perkongsian berkenaan adalah penting dalam memupuk sikap saling mempercayai dan memahami, terutama sekali dalam kalangan belia.

Inisiatif-inisiatif tersebut hendaklah diteruskan bagi menggalakkan pertukaran di antara masyarakat dan mengukuhkan lagi hubungan rapat di antara ASEAN dan Jepun.

Satu bidang yang menyumbang kepada peningkatan taraf kualiti kehidupan adalah penjagaan kesihatan dan ASEAN menghargai Inisiatif ‘Kesihatan Jepun-ASEAN’ (Japan-ASEAN Health Initiative) dan mengalu-alukan kerja-kerja yang dijalankan oleh para pegawai dalam menjalankan aktiviti-aktiviti di bawah projek tersebut.

Dalam memastikan keamanan dan kestabilan di rantau ini, titah Baginda, perhatian hendaklah diberikan kepada kerjasama memerangi keganasan dan jenayah merentas sempadan, selain itu mitigasi bagi menangani bencana alam hendaklah juga dijadikan keutamaan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menggesa ASEAN dan Jepun untuk meningkatkan lagi kerjasama ekonomi, dan mengekalkan kerjasama rapat, bukan sahaja melalui kerjasama dua hala tetapi juga inisiatif serantau seperti ASEAN-Japan Comprehensive Economic Partnership (AJCEP) dan Peta Jalan Kerjasama 10 Tahun.

Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea ke-17

Sementara itu, dalam Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea, yang turut dihadiri oleh Presiden Republik Korea, Puan Yang Terutama Park Gyeun-hye dan Setiausaha Agung ASEAN, Baginda Sultan antara lain bertitah menekankan peningkatan kerjasama ekonomi di antara ASEAN dan Republik Korea bagi mencapai sasaran perdagangan dua hala bernilai AS$200 bilion pada tahun 2020.

Untuk itu, Baginda mengalu-alukan perkembangan kemajuan melalui Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Korea untuk mewujudkan lebih banyak peluang-peluang perniagaan.

Baginda seterusnya mengalu-alukan komitmen berterusan Republik Korea dalam meningkatkan penglibatan komuniti perniagaan melalui Pusat ASEAN-Korea.

Baginda menegaskan kerjasama yang meningkat dalam beberapa bidang antara lain seperti seni persembahan dan warisan budaya telah dapat membantu memperkembangkan kongsi-sama dalam industri-industri kreatif, pendidikan dan pelancongan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya memberikan sokongan kepada Tahun Pertukaran Kebudayaan ASEAN Republik Korea yang akan diadakan pada tahun 2017 dan berharap ASEAN dan Republik Korea terus bekerjasama melalui ‘Rumah Budaya ASEAN’.

Baginda berharap para pegawai ASEAN dan Republik Korea akan memastikan perlaksanaan penuh ‘Pengisytiharan Bersama ASEAN-Republik Korea’ dalam tempoh lima tahun.

Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-7

Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut berkenaan mengurniakan titah semasa Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-7 yang dihadiri oleh ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN; Setiausaha Agung PBB, Tuan Yang Terutama Ban Ki-moon dan Setiausaha Agung ASEAN.

Baginda antara lain bertitah menekankan mengenai pemerkasaan wanita dan kanak-kanak yang mana ia merupakan salah satu keutamaan kongsi sama ASEAN-PBB. Negara Brunei Darussalam juga menyedari hakikat ini dan perkara tersebut juga merupakan bidang kerjasama yang perlu diberikan perhatian.

Selain itu, pengurusan bencana dan perubahan iklim juga adalah antara bidang-bidang kerjasama yang mesti diperkukuhkan.

Baginda juga menyatakan harapan untuk melihat termeterainya perjanjian iklim baru di Paris yang akan membolehkan ASEAN berupaya menangani perubahan iklim dengan lebih berkesan.

Selepas sidang-sidang kemuncak berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan berangkat ke Majlis Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan serta Penyerahan Pengerusi ASEAN kepada Republik Demokratik Rakyat Laos.

Di akhir majlis itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menyaksikan tayangan video daripada Republik Demokratik Rakyat Laos selaku Pengerusi ASEAN 2016.

Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng; Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar; dan Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha.

ARTIKEL YANG SAMA