Titik berat soal kebersihan

Titik berat soal kebersihan

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 21 Jan – Dua buah kedai makan dan minum di kawasan Mukim Liang telah diberi teguran berhubung prosedur dan tatacara pembersihan yang bersesuaian dalam operasi bersepadu Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Belait, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kebanyakan pengurus restoran tidak sepatutnya menitik beratkan soal keuntungan sahaja malahan kebersihan dan keselamatan makan dan minum pelanggan dianggap sebagai perkara mudah.

Premis makanan yang kotor, penuh dengan sampah sarap dan yang menggunakan perkakas dan peralatan yang tidak bersih adalah punca pembiakan kuman di samping menggalakkan pembiakan lipas, lalat dan tikus, seterusnya makanan yang disediakan dalam keadaan seumpama ini akan menjadi punca kepada kes keracunan makanan dan penyakit bawaan makanan seperti cirit birit dan sakit perut.

Teguran ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pengendali makanan mengenai keperluan-keperluan kebersihan premis makan dan minum serta kesihatan yang perlu diamalkan.

Pemeriksaan Jabatan Daerah Belait dan Jabatan Kesihatan Kuala Belait di premis tempat makan. - Gambar oleh Jabatan Daerah Belait
Pemeriksaan Jabatan Daerah Belait dan Jabatan Kesihatan Kuala Belait di premis tempat makan. – Gambar oleh Jabatan Daerah Belait

Sementara itu, operasi sepadu berkenaan bertujuan untuk membuat pemeriksaan ke atas kebersihan dan keselamatan persekitaran luar dan dalam premis perniagaan, begitu juga untuk memastikan makanan dan minuman yang dihidangkan kepada pelanggan berada dalam kawalan yang selamat untuk digunakan serta mematuhi piawaian Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan peraturan dan syarat-syarat di bawah Akta Lesen Perniagaan Penggal 127, (pindaan 2015).

Selain itu, ia juga untuk melindungi para pelanggan daripada risiko keracunan makanan serta menyampaikan mesej kepada pengendali makanan supaya meningkatkan mutu kebersihan premis makanan masing-masing.

Ia yang diharap akan berupaya untuk membantu pengendali-pengendali makanan dalam mengetahui garis panduan yang perlu ada dalam memastikan tahap kebersihan dan proses penyediaan makanan berada di tahap yang dikehendaki.

ARTIKEL YANG SAMA