Tivoli rangsang jualan SsangYong

Tivoli rangsang jualan SsangYong

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jan – SsangYong Motor telah mencatatkan jualan sebanyak 144,764 unit pada 2015, dengan 99,664 di Korea dan 45,100 dalam jualan eksport termasuk kit CKD.

Statistik ini diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SsangYong Motor, Choi Johngsik dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada media.

Menurut kenyataan itu, syarikat Korea Selatan berkenaan telah melepasi paras 140,000 unit untuk jualan tahunan buat tiga tahun berturut-turut, meningkat 2.6 peratus dari setahun ke setahun, yang dipacu oleh peningkatan jualan dalam negara (Korea) terutamanya model Tivoli yang diminati ramai penduduk di negara berkenaan.

Tivoli, yang telah mendahului pasaran SUV kompak sejak pelancarannya, telah mencatatkan rekod jualan tahunan tertinggi dalam sejarah syarikat itu dengan menjual 63,693 unit termasuk 45,021 unit di pasaran Korea dan 18,672 unit dalam pasaran luar negara. Rekod tertinggi sebelumnya, 54,274 unit model Rexton dijual pada 2004.

Dibantu dengan jualan Tivoli yang tinggi, jualan SsangYong di Korea pada tahun lalu juga merekodkan jumlah tertinggi dalam tempoh 12 tahun sejak 2003 apabila ia mencatatkan 131,283 unit.

Tivoli mencatat jualan tertinggi dalam tempoh 12 tahun sejak 2003 apabila 63,693 unit berjaya dijual.
Tivoli mencatat jualan tertinggi dalam tempoh 12 tahun sejak 2003 apabila 63,693 unit berjaya dijual.

Eksport SsangYong mengecilkan sedikit kadar penurunan daripada lebih 40 peratus dalam separuh pertama kepada 37.4 peratus setahun ke setahun, dibantu dengan peningkatan eksport Eropah yang melambung melebihi 80 peratus berikutan pelancaran Tivoli.

Menurut kenyataan itu lagi, pada Disember 2015, syarikat berkenaan telah menjual 15,116 unit dalam pasaran tempatan dan luar negara dengan peningkatan sebanyak 16.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, mencatatkan jumlah jualan bulanan tertinggi pada tahun lalu.

Jualannya di Korea pada Disember juga mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 11,351 unit dengan peningkatan sebanyak 37.4 peratus daripada tahun sebelumnya sejak Disember 2003 apabila mereka menjual 11,487 unit.

ARTIKEL YANG SAMA