TJ pesta gol benam Terrazza

TJ pesta gol benam Terrazza

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mac – TJ FT berpesta gol hari ini di Kompleks Sukan Sungai Kebun apabila berjaya membolosi gawang gol pasukan Terrazza FC sebanyak lima kali tanpa balas dalam Kejohanan Bola Sepak Veteran Kebangsaan DST 2016 – Piala Presiden.

Pada perlawanan tersebut, Haji Rudy bin Yahya membuka tirai jaringan pada minit ke-16 sebelum menambah satu lagi pada minit ke-41 perlawanan sebelum Haji Edy bin Abdul Malik menambah lagi jaringan di babak kedua perlawanan pada minit ke-79.

Kemaraan Pasukan TJ tidak terhenti setakat itu sahaja bahkan secara terus menerus mencengkam pasukan lawan apabila Pengiran Sabtu menyenaraikan namanya sebagai salah seorang penjaring pada minit ke-81, sementara jaringan terakhir pasukan TJ pula dijaringkan oleh Awang Alamin pada minit ke-83.

Dalam perlawanan lain antara PSJD menentang pasukan AKSE pula menyaksikan AKSE pulang bersama tiga mata penuh apabila percubaan Awang Mohd Roni bin Haji Jumat pada minit ke-26 menjadi jaringan tunggal perlawanan di Padang Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha di Daerah Tutong.

Sementara itu, satu lagi perlawanan berlangsung di Padang Sekolah Menengah Awang Semaun di antara pasukan Kilugus FC menentang BESA FC yang akhirnya tamat dengan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata dengan jaringan 3-3.

Dalam perlawanan berkenaan Awang Mohd Ali Elda bin Haji Metali daripada pasukan Kilugus membuka tirai jaringan pada minit ke-13 sebelum Awang Mohd Azimin bin Haji Abu Bakar daripada BESA menyamakan kedudukan pada minit ke-41.

Manakala Awang Sarbini bin Haji Lawal juga turut menyumbangkan gol bagi pasukan Kilugus pada minit ke-46 untuk membuatkan pasukannya berada di hadapan pada minit ke-46, namun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Awang Mohd Ali Elda sekali lagi meledakkan jaringan, sekali gus menyamakan kedudukan pada minit ke-59.

Awang Mohd Ali Elda melengkapkan hatriknya pada minit ke-79 untuk membantu pasukkannya berada di hadapan pasukan lawan, namun harapan Kilugus untuk membawa pulang tiga mata penuh berkecai apabila Awang Sopian bin Ali menjaringkan gol penyamaan pada minit tambahan perlawanan itu untuk menjadikan kedudukan seri 3 -3.