TKI dianiaya majikan boleh lapor ke KRI

TAWAU, 5 Dis – Tenaga Kerja Indonesia (TKI) yang bekerja di Sabah tetapi teraniaya, termasuk tidak dibayar gaji, perlu melaporkan segera kepada Pejabat Konsulat Republik Indonesia (KRI) yang berhampiran, kata Konsul KRI di Tawau Krishna Djelani.

Katanya, perkara itu bagi membantu golongan TKI teraniaya mencari jalan penyelesaian bersama pihak majikan.

“Pihak konsulat tidak dapat memberi bantuan atau perlindungan kepada TKI yang tidak membuat laporan berkaitan permasalahan mereka,” katanya kepada Bernama mengulas dakwaan terdapat majikan tidak membayar gaji TKI sehingga tempoh enam bulan.

Menurut Krishna, perkara seumpama itu tidak boleh dibiarkan kerana melibatkan kelangsungan hidup seharian para pekerja dan boleh menjejaskan kehidupan berkeluarga.

“Pihak majikan perlu bertanggungjawab menunaikan janji membayar gaji pekerja seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang kerja Malaysia,” katanya.

Beberapa orang dari TKI yang bekerja di pelbagai ladang sekitar Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau sejak 2012 mendaftar untuk mendapatkan pengesahan perkahwinan mereka di Pejabat Konsulat Republik Indonesia. Pekerja TKI digesa membuat laporan jika ada mana-mana majikan yang menganiaya mereka ke KRI. – Bernama

Bernama difahamkan, seorang wanita tempatan membuat laporan ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, di sini menuntut cerai daripada suaminya warga Indonesia, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan kerana tidak mahu berhenti kerja meskipun tidak menerima gaji selama enam bulan.

Difahamkan, pekerja TKI lain di tempat suaminya bekerja turut belum menerima gaji hingga kini.

Dalam pada itu Krishna berkata, pihaknya memandang berat terhadap dakwaan itu dan meminta isteri berkenaan membuat laporan di pejabatnya untuk tindakan susulan. – Bernama