TLC pertama di Brunei

TLC pertama di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Okt – Telekom Brunei Berhad (TelBru) telah melancarkan pusat pembelajaran korporat khas, yang mengetengahkan keupayaan Pembelajaran Paduan Maya (Virtual Blended Learning), pertama seumpamanya di Brunei.

Pendekatan terkini ini menggabungkan kelebihan pembelajaran dalam talian dengan dalam kelas bagi mengoptimumkan pemerolehan pengetahuan dan keupayaan-keupayaan.

Menurut kenyataan TelBru, di sini hari ini, Pusat Pembelajaran TelBru (TLC) yang terletak di Berakas itu meliputi semua keperluan latihan syarikat berkenaan, daripada pembangunan kemahiran teknikal kepada latihan kepimpinan.

Lebih 100 orang kakitangan boleh dilatih di pusat berkenaan pada bila-bila masa dalam enam buah bilik kelas pelbagai guna yang termasuk sebuah makmal IT komputer, sebuah makmal ujian teknikal dan sebuah pusat perkhidmatan pelanggan.

Apa yang paling menarik di TLC ialah penggunaan pendekatan ‘flipped classroom’, dengan menampilkan tiga TV skrin lebar dan berkomputer di bahagian depan kelas, disokong dengan siri skrin berdefinisi tinggi di meja-meja kerja kumpulan individu yang saling berhubung. Konfigurasi tersebut membolehkan para peserta program belajar dalam kumpulan kecil dengan pelatih memudah cara pengalaman pembelajaran.

Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar (tengah) yang juga Ahli Lembaga Pengarah TelBru dan Pengarah Hal Ehwal Korporat Kementerian, Kewangan Awang Ahmad Jefri bin Abd Rahman semasa melawat TLC baru-baru ini.
Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar (tengah) yang juga Ahli Lembaga Pengarah TelBru dan Pengarah Hal Ehwal Korporat Kementerian, Kewangan Awang Ahmad Jefri bin Abd Rahman semasa melawat TLC baru-baru ini.

Di samping itu, penyelesaian berasaskan ‘cloud’ ini juga membolehkan TelBru menyiarkan pengajaran daripada pakar-pakar global ke dalam bilik kelas secara langsung.

Ketua Pegawai Eksekutif TelBru, David Kay, dalam kenyataan berkenaan berkata; “Tatkala kami berusaha untuk berada di hadapan dalam perkhidmatan pelanggan, kami perlu mengambil, mengekalkan dan paling penting, membangunkan kakitangan.

“Untuk melakukannya, kami mesti menawarkan peluang-peluang pembelajaran dan pertumbuhan cemerlang kepada semua kakitangan.”

Beliau menambah, persekitaran Pembelajaran Paduan Maya, digabungkan dengan pendekatan ‘Flipped classroom’, merupakan cara paling optimum bagi tenaga kerja baru TelBru untuk belajar.

Latihan-latihan yang sedang dijalankan di pusat berkenaan pada masa ini termasuk program pembangunan kepimpinan, program-program pelatih pengurusan serta pelbagai program latihan teknikal dan telekomunikasi tertentu yang lain.

Menurut TelBru lagi, TLC juga dilengkapi sepenuhnya untuk melatih para jurutera mereka dengan kemahiran-kemahiran penting bagi mengekalkan dan membangunkan rangkaian FTTH baru di samping rangkaian tembaga sedia ada.

Bantuan-bantuan latihan yang dibina khas membantu para jurutera berkenaan untuk berlatih dalam suasana yang meniru keadaan sebenar di lapangan dan membolehkan mereka mendapat pengalaman dalam persekitaran yang terkawal sebelum bekerja mengendalikan rangkaian sebenar.

Pusat pembelajaran itu telah menghimpunkan elemen-elemen penting yang seseorang jurutera akan hadapi di lapangan dan diperkenalkan kepada mereka di satu lokasi. Di sana, mereka dapat bergerak dari bilik kelas ke bilik praktikal dalam masa beberapa minit dan mendapat pengalaman latihan sebenar tanpa perlu meninggalkan kemudahan tersebut.

pg03_151028_c

Jurutera-jurutera berkenaan, dapat belajar mengenai semuanya daripada menghubungkan sesebuah rumah dengan rangkaian tembaga atau gentian hingga menyelesaikan masalah di sesebuah kabinet atau titik pengagihan bagi memastikan para pelanggan menerima perkhidmatan terbaik.

Satu perubahan besar daripada sebelumnya adalah, pusat berkenaan mempergunakan peralatan diagnostik tembaga dan gentian yang terkini serta peralatan yang diperlukan untuk menjalankan pembaikan.

TelBru dalam kenyataannya turut menyatakan, pusat ini dibangunkan dengan simulator dibina khas di mana seseorang jurutera boleh melakukan ujian-ujian OTDR (Optical Time – Domain Reflectometer).

Simulator berkenaan, di samping beberapa kursus-kursus baru yang dirancang dengan teliti, bukan sahaja membantu jurutera-jurutera baru tetapi juga sedia ada yang ingin mengemas kini kemahiran-kemahiran mereka.

Menurut kenyataan itu, apabila peralatan-peralatan baru terdapat dalam pasaran, pusat berkenaan akan menambahnya ke dalam program-program latihan yang ada bagi memastikan jurutera-jurutera sentiasa bersedia memberi respons kepada keperluan pelanggan.

Pusat berkenaan telah menarik banyak perhatian dan menerima beberapa lawatan orang kenamaan termasuk ahli-ahli Lembaga Pengarah TelBru, para pegawai dari Institusi bagi Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan ketua pegawai eksekutif Darussalam Assets.

Lawatan-lawatan berkenaan bertujuan untuk melihat lebih dekad kemudahan-kemudahan terkini TLC sebagai masa depan pembangunan profesional bagi negara ini.

Malah, berita mengenainya juga tersebar ke Malaysia dan negara-negara lain, dengan pelbagai universiti dan syarikat menyatakan minat untuk datang melihat keunikan persekitaran Pembelajaran Paduan Maya TelBru.

ARTIKEL YANG SAMA