TLDB rai Jubli Emas

TLDB rai Jubli Emas

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dalam usianya yang menjangkau 50 tahun telah melalui pelbagai perkembangan daripada segi aset, infrastruktur dan juga secara keseluruhan organisasi sejajar mengikut arus peredaran zaman.

Dengan peningkatan keupayaan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan, TLDB dengan kapal-kapal yang ada pada masa ini berupaya untuk mengharungi lautan Eropah, India dan Pasifik sekali gus meningkatkan profesionalisme serta diplomasi pertahanan negara.

Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei, Laksamana Pertama Pengiran Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad berkata, penyertaan dalam latihan di peringkat dua hala, pelbagai hala dan misi bantuan kemanusiaan serta bencana alam, juga telah menyumbang ke arah kematangan TLDB.

“Semoga penglibatan TLDB di arena antarabangsa akan memperkukuhkan lagi nilai komitmen Negara Brunei Darussalam terhadap sekuriti dan keselamatan maritim di rantau ini, sekali gus meningkatkan rangka kerjasama di antara Tentera Laut sahabat,” katanya semasa berucap pada Sambutan Jubli Emas Tentera Laut Diraja Brunei yang berlangsung di Padang Kawad, TLDB, Muara, hari ini.

Menyentuh mengenai kesiapsiagaan TLDB, Laksamana Pertama Pengiran Norazmi berkata ia bersandar kepada keupayaan dalam Raise, Train dan Sustain di mana beliau menekankan perlunya meningkatkan kemampuan untuk melatih anggota TLDB menjadi lebih profesional setiap kali melaksanakan tugas mereka.

Laksamana Pertama Pengiran Norazmi memotong kek sempena Ulang Tahun Jubli Emas Tentera Laut Diraja Brunei.
Laksamana Pertama Pengiran Norazmi memotong kek sempena Ulang Tahun Jubli Emas Tentera Laut Diraja Brunei.
Laksamana Pertama Pengiran Norazmi ketika menyempurnakan penyampaian Lencana kepada salah seorang penerima.
Laksamana Pertama Pengiran Norazmi ketika menyempurnakan penyampaian Lencana kepada salah seorang penerima.
Di antara para tetamu yang menghadiri majlis berkenaan.
Di antara para tetamu yang menghadiri majlis berkenaan.
Laksamana Pertama Pengiran Norazmi bergambar ramai di upacara berkenaan.
Laksamana Pertama Pengiran Norazmi bergambar ramai di upacara berkenaan.

“Kita haruslah melaksanakan pembaikan kapal yang efisien dan mempunyai sistem logistik lengkap bagi menentukan aset-aset kita sentiasa beroperasi serta memperbaiki tatacara pengurusan sumber manusia setiap anggota di TLDB. Semua ini kita akan tumpukan bagi memastikan kita sentiasa berada di dalam kesiapsiagaan yang tinggi,” ujarnya.

Laksamana Pertama Pengiran Norazmi turut menyeru anggota TLDB untuk memperbaiki jati diri dan meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing serta menjauhi gejala-gejala sosial tidak sihat terutamanya penyalahgunaan dadah dan rasuah yang boleh menghancurkan institusi tentera dan juga negara.

Dalam ucapannya itu lagi, beliau turut mengumumkan bahawa bermula hari ini, TLDB akan mula menggunakan gelaran pangkat admiralti dan lencana bagi semua jurusan yang terdapat di TLDB sesuai dengan Tentera Laut yang lain.

“Diharap semua warga TLDB akan berbangga menggunakannya dengan identiti kita yang tersendiri.”

Terdahulu sebelum itu, Laksamana Pertama Pengiran Norazmi telah menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan yang terdiri daripada 214 orang anggota TLDB yang diketuai oleh Leftenan Komander Mohd Faizal Ezam bin Haji Abas.

Di majlis berkenaan juga, Laksamana Pertama Pengiran Norazmi telah menyempurnakan penyampaian Lencana Pemerintah Kapal, Sijil Pegawai Pemerintah Kapal, Sijil Juragan Kapal serta Anugerah Sauh Emas dan Bintang Harapan kepada para penerima.

ARTIKEL YANG SAMA