TLDM tingkat penghantaran aset ke perairan Sabah

TLDM tingkat penghantaran aset ke perairan Sabah

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan meningkatkan pengawasan perairan Sabah dengan menggerakkan lebih banyak aset pertahanannya susulan ancaman keselamatan yang merebak di pantai Barat negeri itu.

Panglima TLDM Laksamana Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata antara aset yang akan digerakkan ke perairan Sabah adalah kapal ronda generasi baru (NGPV) kelas KD Kedah, kapal ronda laju, bot CB90, bot-bot pemintas serta helikopter.

“TLDM sentiasa melaksanakan pengawasan perairan negara secara 24 jam, tujuh hari seminggu walaupun dengan cabaran kekangan aset dan pengawasan dilakukan berpandukan perkembangan ancaman dan keperluan semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Ahmad Kamarulzaman berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai ancaman keselamatan di Sabah yang dikesan mula merebak ke kawasan lain, khususnya di pantai barat Sabah.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata menurut maklumat risikan, telah ada panglima-panglima dari sebuah kesultanan yang telah dilantik bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di Sabah.

Gambar fail bertarikh 17 Februari 2016 menunjukkan Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (kiri) mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen. – Bernama
Gambar fail bertarikh 17 Februari 2016 menunjukkan Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (kiri) mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen. – Bernama

Ahmad Kamarulzaman berkata kesemua agensi keselamatan yang terlibat menjaga perairan negara juga perlu mempertingkatkan elemen perisikan masing-masing.

“Penting bagi semua agensi maritim memperkukuhkan lagi keupayaan serta perkongsian maklumat perisikan secara bersepadu bagi menentukan operasi maritim lebih berkesan dan efisien,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata penambahan aset pertahanan dan anggota bertugas di Sabah merupakan sebahagian daripada usaha berterusan agensi itu bagi memastikan keselamatan di keseluruhan kawasan perairan negeri itu.

“Kita telah menambah aset seperti bot-bot keselamatan serta menambah bilangan anggota yang bertugas di negeri itu kerana kita perlu berada dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya sambil menambah pertukaran maklumat turut dilakukan antara agensi keselamatan lain.

Dalam pada itu, Ahmad Puzi berkata tanggungjawab menjaga keselamatan di perairan Sabah tidak boleh diletak di atas bahu anggota keselamatan semata-mata sebaliknya semua pihak terutama masyarakat setempat perlu memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat tepat dan pantas kepada pihak keselamatan.

“Nelayan dan komuniti maritim boleh menyalurkan maklumat kepada pihak keselamatan sekiranya mengetahui sebarang aktiviti jenayah mahupun penyeludupan yang berlaku di persekitaran mereka. Mereka perlu menjadi mata dan telinga agensi keselamatan negara agar perairan negara terus terjamin,” katanya.