TM Majeed prihatin nasib 80 penduduk kampung

TM Majeed prihatin nasib 80 penduduk kampung

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jun – Bersempena bulan Ramadan yang penuh dengan rahmat dan kemuliaan ini, seramai 80 orang penduduk dari Kampung Kilanas dan Kampung Jangsak yang terdiri daripada orang berkeperluan khas, kurang berkemampuan, ibu tunggal dan anak-anak yatim telah menerima sumbangan zakat daripada Syarikat TM Majeed Kilanas, pada majlis yang berlangsung di pasar rayanya di Kilanas, hari ini.

Pengerusi TM Majeed, Haji T.M Badaruddin ketika ditemui berkata, sumbangan tersebut adalah sebagai penghargaan kepada golongan berkenaan, sekali gus meringankan bebanan mereka.

“Majlis antara lain bertujuan sebagai amal jariah semata-mata kerana Allah dalam meraih ganjaran pahala dalam bulan suci ini, selain membantu dan meringankan beban perbelanjaan mereka agar turut sama merasakan suasana kegembiraan dalam bulan yang mulia ini dan seterusnya menyambut Hari Raya Aidilfitri yang tidak lama lagi akan menjelang”.

Jelas TM Badaruddin lagi, sumbangan berupa makanan asasi berjumlah $5,600 telah diagihkan dalam majlis itu dan ia akan diteruskan lagi di beberapa buah cawangannya di Kampung Sungai Hanching dan Kampung Salambigar bagi 70 orang penduduk Kampung Lambak Kanan yang kurang upaya, kurang berkemampuan, ibu-ibu tunggal dan anak-anak yatim.

Ketua Kampung Kilanas bersama Pengerusi TM Majeed menyampaikan sumbangan kepada mereka yang kurang upaya.
Ketua Kampung Kilanas bersama Pengerusi TM Majeed menyampaikan sumbangan kepada mereka yang kurang upaya.

“Majlis ini juga diharap akan dapat dijadikan wadah dalam mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk Kampung Kilanas dan Kampung Jangsak,” ujar beliau lagi.

Beliau juga menambah, majlis sumbangan ini merupakan kali kelapan diadakan sebagai salah satu aktiviti kebajikan TM Majeed pada setiap tahun.

Ketua Kampung Kilanas, Haji Mohd Rais bin Sabtu pula menyatakan bahawa keluarga-keluarga yang menerima sumbangan berkenaan telah dikenal pasti daripada kaji selidik yang telah dijalankan sebelum ini.

Beliau selaku wakil Kampung Kilanas dan Kampung Jangsak turut mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan yang diberikan kepada mereka yang kurang berkemampuan yang antara lain bertujuan untuk membantu keluarga-keluarga berkenaan dalam menyediakan keperluan keluarga di bulan Ramadan agar mereka dapat menjalan ibadah puasa dengan lebih sempurna.

ARTIKEL YANG SAMA