TM Sabah komited tingkat kesihatan pekerja

TM Sabah komited tingkat kesihatan pekerja

KOTA KINABALU, 12 Nov (Bernama) – TM Sabah sentiasa komited meningkatkan kualiti gaya hidup dan kesihatan dalam kalangan pekerjanya agar mampu mendorong prestasi syarikat ke arah lebih mampan, berdaya saing serta progresif.

Pengurus Besarnya Sukkuriya Masri berkata berdasarkan laporan perubatan anggota TM di negeri ini, bagi tempoh antara Januari hingga September tahun lalu, sebanyak 19,377 transaksi perubatan direkodkan membabitkan kos rawatan sejumlah RM1.65 juta.

“Ini bermakna, kadar purata mendapatkan rawatan bagi setiap anggota dan tanggungan mereka ialah sebanyak 17 kali dalam tempoh sembilan bulan pertama,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran TM Sabah ‘Wellness Program’ di Kompleks TM Kepayan di sini hari ini.

Program julung kali diadakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Jabatan Kesihatan Kota Kinabalu itu antara lain bertujuan menggalakkan anggota TM mengamalkan gaya hidup sihat.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk promosi dan pameran kesihatan, pemeriksaan kesihatan, derma darah serta ceramah.