TMJ: Siasat FAM

TMJ: Siasat FAM

SINGAPURA, 20 Okt – Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyiasat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas dikatakan gagal menangani unsur rasuah dan masalah hak penyiaran hasil kerjasama FAM dengan syarikat hak media sukan terkemuka, MP & Silva pada Januari lalu.

“Mungkin FIFA perlu lakukan siasatan terhadap mereka kerana mungkin terdapat sesuatu gejala tidak sihat di dalam persatuan tersebut.

“Apa yang saya boleh katakan ialah mereka (FAM) tidak berminat untuk melonjakkan tahap bola sepak Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dan mereka hanya berminat mengenai jawatan dan kedudukan mereka sahaja.

“Kebanyakan kelab di negara ini dikendalikan oleh ahli politik dan mereka mengambil jalan selamat. Kamu (FIFA) boleh lihat keadaan yang tidak teratur dan masalah itu turut dibelenggu oleh persatuan-persatuan bola sepak yang lain,” titah Tunku Ismail yang juga merupakan Tunku Mahkota Johor (TMJ).

Sebelum ini, Tunku Ismail yang bertanding untuk merebut jawatan Presiden FAM tahun lepas, gagal selepas tewas kepada Tengku Abdullah.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim. – Bernama
Tunku Ismail Sultan Ibrahim. – Bernama

Namun selepas itu, baginda dilantik sebagai penasihat kepada presiden FAM yang bertahan selama dua bulan sebelum baginda melepaskannya. Baginda juga turut menjelaskan tidak akan bertanding lagi kerana kecewa dengan sistem yang lemah dalam badan induk bola sepak negara itu.

Salah satu perubahan yang Tunku Ismail mahukan ialah pengadil dalam Liga Malaysia perlu diletakkan di bawah sebuah badan bebas untuk mengelakkan mereka daripada mempunyai kepentingan sendiri.

Selain itu, baginda juga turut menjelaskan kepentingan Sportradar iaitu sebuah syarikat utama dunia yang begitu memahami dan memanfaatkan segala sumber maklumat berkaitan sukan serta rasuah atau penetapan perlawanan.

Namun, sistem yang jelas mempunyai manfaat besar dalam me­merangi masalah bola sepak itu dilaporkan telah ditolak oleh FAM atas alasan menelan kos yang tinggi.

Pada awal tahun ini, Tunku Ismail turut mempertikaikan pengagihan keuntungan hasil kerjasama dengan MP & Silva yang tidak memihak kepada kelab dan persatuan negeri.

Berdasarkan perjanjian yang dimeterai, FAM akan menerima RM1.26 bilion dalam tempoh 15 tahun atau secara purata RM48 juta setiap tahun tetapi hanya 30 peratus daripada keuntungan itu atau RM1 juta setahun akan diagihkan kepada setiap pasukan bagi tujuan pembangunan.

Jumlah itu adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan RM17 juta setahun yang akan dinikmati FAM bagi menampung jumlah perbelanjaan liga, selain badan induk sukan bola sepak kebangsaan itu juga akan turut mendapat RM33.5 juta untuk perbelanjaan lain. Tegas Tunku Ismail, hak penyiaran akan membantu semua pasukan bola sepak yang bertanding di dalam negara dengan mengurangkan beban kewangan ditanggung oleh pasukan-pasukan berentap dalam liga. – Reuters