Todd Mercer gembira dapat kukuhkan hubungan Brunei-Australia

Todd Mercer gembira dapat kukuhkan hubungan Brunei-Australia

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Ogos – Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Todd Mercer telah mengundang kenalan rapat dan rakan-rakan yang dengannya menjalani hubungan baik selama empat tahun berada di Brunei, ke majlis perpisahannya yang berlangsung di kediamannya di Jalan Kota Batu, di sini, hari ini.

Antara yang hadir ialah wakil-wakil Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pertahanan, serta dari sektor bukan kerajaan dan industri kreatif.

Dalam ucapannya berkata, beliau amat berterima kasih atas sokongan mereka sepanjang bekerja bersama-sama dalam perdagangan, pertahanan, pendidikan, sukan atau muzik yang setentunya telah membantu mengukuhkan hubungan antara Australia dan Brunei.

Sepanjang berada di Brunei, Mercer sangat menekankan mengenai perkembangan hubungan pendidikan antara Australia dan Brunei, melalui pelajar Brunei yang belajar di Australia, dan melalui pelajar Australia datang ke Brunei sama ada untuk meneruskan pembelajaran, latihan, mentor, penyelidikan dan praktikum dalam jangka masa panjang atau jangka pendek.

Menurutnya, tahun lepas, lapan orang pelajar Australia dari Flinders University menamatkan praktikum tiga minggu di SMARTER Brunei, di bawah program geran mobiliti, Pelan Colombo Baru yang berprestij. Manakala itu, 10 orang akan dijangka tiba ke Brunei pada minggu-minggu yang akan datang.

“Saya sangat berbangga kerana telah berpeluang untuk bekerjasama rapat dengan SMARTER Brunei. Pendekatan progresif mereka untuk membantu kanak-kanak autisme terus memberi inspirasi kepada suruhanjaya tinggi dan pelajar-pelajar Australia yang mempunyai peluang untuk menjalani penempatan kerja dengan pasukan SMARTER,” ujarnya.

Selain dalam biang pendidikan, Suruhanjaya Tinggi Australia juga mempunyai hubungan kerja yang baik dengan semua kementerian kerajaan Brunei.

Ini, tambahnya, telah ditunjukkan baru-baru ini dalam penyelarasan Sidang Kemuncak Hutan Hujan Asia Pasifik ke-2, di mana pakar-pakar alam sekitar daripada sektor awam, swasta, kewangan dan bukan kerajaan dari lebih 20 buah negara telah berkumpul untuk menangani isu-isu perhutanan dan perubahan iklim.

“Sidang kemuncak berkenaan adalah kemuncak kepada dua tahun kerjasama antara kerajaan Australia dan Brunei. Sebagai tuan rumah sidang kemuncak pertama pada tahun 2014, kerajaan Australia bangga untuk menyokong Brunei kerana telah mengambil alih tugas tuan rumah sidang kemuncak itu, dan telah berjaya mengadakan acara yang bersejarah,” jelas Mercer.

Suruhanjaya Tinggi Australia ke Brunei juga telah mempunyai program diplomasi awam yang aktif sepanjang tempoh perkhidmatan beliau yang telah mengukuhkan hubungan orang ke orang melalui projek-projek dalam bola jaring, sukan renang, muzik dan lain-lain lagi.

Bagi Mercer, lawatan yang paling istimewa beliau adalah apabila lapan orang veteran Australia yang telah kembali ke Borneo pada Jun 2015, buat pertama kali sejak 1945 bagi memperingati ulang tahun ke-70 Kempen Borneo Perang Dunia Kedua.

Majlis peringatan dan penyatuan semula para veteran berkenaan dengan warga emas tempatan telah mewujudkan ikatan yang mendalam dan perkongsian sejarah antara Brunei dan Australia.

“Usaha Suruhanjaya Tinggi dalam mengadakan pelbagai acara sepanjang tahun yang berkongsi kepakaran dan kemahiran Australia, menguatkan rangkaian alumni dan hubungan orang dengan orang dan kadang-kadang membolehkan orang ramai untuk menikmati makanan dan budaya Australia yang bagus.

“Sambutan mesra orang Brunei yang telah ditunjukkan kepada veteran Perang Dunia II Australia apabila mereka melawat tahun lepas akan kekal menjadi memori yang dihargai semasa saya berada di Brunei bagi tahun-tahun yang akan datang,” tambahnya.

Kerajaan Australia, baru-baru ini, telah mengumumkan pelantikan Nicola Rosenblum sebagai Pesuruhjaya Tinggi Australia baru untuk Brunei, yang dijangka tiba ke Brunei pada pertengahan bulan September untuk mengambil alih tugas sebagai ketua perwakilan.

Manakala itu, Mercer akan berlepas meninggalkan Brunei pada 24 Ogos untuk kembali ke Canberra, Ausralia.