Tok Batin bangga nama serupa PM keempat Tun Dr Mahathir

Tok Batin bangga nama serupa PM keempat Tun Dr Mahathir

LIPIS, 25 Ogos (Bernama) – “Nama saya serupa dengan perdana menteri Malaysia keempat,” menjadi ungkapan kebiasaan bagi Mahathir Yok setiap kali memperkenalkan dirinya kepada individu yang baharu dikenali.

Mahathir, 48, berkata beliau bangga kerana mempunyai nama serupa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga idolanya selaku bapa pemodenan Malaysia.

Bercerita mengenai namanya, Tok Batin Kampung Tigol itu berkata nama itu diberikan kepadanya semasa beliau berusia 14 tahun oleh seorang pegawai Jabatan Orang Asli (kini Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa)).

“Saya tidak mempunyai surat beranak pada masa itu. Kebetulan pada tahun 1981 ada pegawai, Tuan Haji Karim membuat bancian di kampung dan meminta ayah, Yok Tegas menamakan saya sebagai Mahathir yang baharu dilantik sebagai perdana menteri pada masa itu,” katanya semasa ditemui di sini.

Katanya ayah dan ibunya Ahncah Let bersetuju dengan cadangan itu memandangkan tarikh lahirnya juga jatuh pada bulan kemerdekaan iaitu pada 24 Ogos 1967.

Mahathir berkata namanya turut menjadi perbualan di pihak sebelah isterinya Han.Cini Tenp, 48, sehingga membuatkan beliau perlu mengeluarkan kad pengenalan sebagai bukti.

“Mereka pelik kerana beranggapan tidak mungkin nama saya begitu memandangkan saya dan isteri sebaya. Tidak mungkin saya boleh mempunyai nama yang moden dan orang penting negara pula,” katanya sambil ketawa mengenangkan kisah itu.

Mahathir yang mempunyai sembilan orang anak berusia antara 11 hingga 30 tahun juga memberitahu beliau sangat berterima kasih kepada pegawai yang memberikan nama itu kerana ia menjadi “modal” beliau untuk bercakap dengan Dr Mahathir pada suatu majlis di Bukit Lanjan, Damansara pada suatu ketika dulu.

“Saya beratur menunggu ketibaan Tun Mahathir. Semasa bersalaman dengan beliau, saya kata nama kita serupa menyebabkan beliau ketawa besar. Itu antara kenangan paling manis dalam hidup saya,” katanya.

Mengulas mengenai kehidupan sebagai Orang Asli, Mahathir daripada suku Semai berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kerana masyarakatnya kini menikmati kehidupan yang lebih sempurna dari segi infrastuktur, pendidikan dan kesihatan.

Katanya semua anak beliau yang sudah dewasa mempunyai pendidikan sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala anak bongsunya, Hasina diberikan kemudahan asrama di Pos Senderut di sini, bagi memudahkannya ke sekolah.

Situasi itu berbeza daripada zaman dahulu iaitu dirinya dan kebanyakan rakan sebaya hanya belajar sehingga darjah tiga, katanya.

“Sekarang juga sudah ada jalan untuk ke Pos Senderut, walaupun perlu menaiki kereta pacuan empat roda. Sekitar tahun 80-an, saya bekerja di Gombak tetapi tidak lama kerana sukar untuk pulang ke kampung.

“Pada masa itu, dua cara sahaja untuk ke sini. Sama ada menaiki rakit atau berjalan kaki ke Betau, Lipis sebelum menumpang orang ke Sungai Koyan untuk mengambil bas. Perjalanan sahaja memakan masa dua hari,” katanya.

Mahathir menambah semasa kecil beliau “sering ditinggalkan” semasa bapanya membeli barangan dapur kerana mereka akan berjalan kaki untuk ke Slim River atau Sungkai di Perak.

Katanya perjalanan ke Slim River mengambil masa selama tiga hari, manakala untuk ke Sungkai memerlukan masa selama empat hari, menyebabkan jika “orang kampung ke bandar, akan mengambil masa hampir seminggu”.

“Itu dahulu. Sekarang kami sudah maju, sudah tinggal di bandar, ada peluang ke universiti. Tapi kami masih berpegang kepada ajaran nenek moyang dan ingat pada asal usul,” katanya.