Tok Gajah terus kuasai Liga Super

Tok Gajah terus kuasai Liga Super

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) – Pahang mengekalkan kedudukan teratas dalam saingan Liga Super selepas mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Sarawak pada aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Kemenangan ke-10 yang diraih skuad Tok Gajah itu selepas 15 perlawanan setakat ini, menyaksikan mereka terus mendahului carta liga dengan kutipan 33 mata, kelebihan lima mata ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pada aksi malam tadi, Pahang memperoleh jaringan menerusi Zesh Rehman pada minit ke-22, Dickson Nwakaeme (minit ke-70) dan Azammuddin Mohd Akil pada minit ke-79, manakala gol sagu hati Sarawak melalui Joseph Kalang Tie pada minit ke-64.

Turut meraih mata penuh adalah kelab Felda United FC yang melakar kemenangan selesa 4-0 ke atas pasukan bawahan liga, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban.

Pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin muncul wira skuad The Fighters apabila menjaringkan hatrik pada minit ke-66 (penalti), ke-82 dan ke-86, serta gol oleh Zah Rahan Krangar pada minit ke-87.

Pemain Pahang Zesham (kiri) menjaringkan gol pertama buat pasukannya ketika menentang Sarawak pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur semalam. – Bernama
Pemain Pahang Zesham (kiri) menjaringkan gol pertama buat pasukannya ketika menentang Sarawak pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur semalam. – Bernama

Wakil Singapura, Lions XII pula memintas Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk berada di tangga keenam liga selepas menang tipis 2-1 ke atas Perak di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Lions XII, bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan awal pemain Perak, Namkung Woong yang menanduk masuk bola hasil hantaran rakan sepasukan, sebelum wakil Singapura itu bangkit menjaringkan dua gol menerusi Muhammad Hafiz Abu Sujad pada minit ke-45 dan Safuwan Baharudin minit ke-53.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, pasukan Terengganu mengutip tiga mata penuh selepas menang 2-0 ke atas pasukan tercorot liga, Sime Darby FC. Ashari Samsudin muncul wira skuad Penyu menerusi dua jaringan pada minit ke-26 dan ke-80.

Dalam pada itu, Kelantan yang dibimbing oleh pengendali sementara, Zahasmi Ismail, berjaya menamatkan badi kekalahan selepas menang 3-1 ke atas PDRM di Stadium Shah Alam.

Tiga gol skuad The Red Warriors dijaringkan oleh Austin Amutu pada minit keempat, Jonathan McKain pada masa kecederaan babak pertama serta Erwin Carrillo pada minit ke-66, manakala gol tunggal PDRM menerusi Faizal Abu Bakar pada minit ke-73.

Perlawanan di antara JDT dan Selangor yang sepatutnya berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada malam ini, ditunda ke 13 Julai, berikutan skuad Harimau Selatan itu akan terbabit dengan aksi persahabatan menentang kelab Liga Jerman, Borussia Dortmund, malam ini.