Tokong tumpuan sambut Tahun Monyet

Tokong tumpuan sambut Tahun Monyet

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Feb – Masyarakat Tionghua di seluruh negara, hari ini, menyambut kedatangan Tahun Baru Cina, sekali gus menandakan permulaan Tahun Monyet dalam kalender Cina.

Kelazimannya, permulaan Tahun Baru Cina disambut dengan kunjungan ke tokong-tokong, begitu juga di Brunei Darussalam dengan Tokong Tiong Hua di ibu negara menjadi tumpuan dan telah dibanjiri masyarakat Tionghua pagi tadi.

Sambutan di tokong berkenaan yang dimeriahkan dengan tarian singa, yang biasa dipersembahkan semasa Tahun Baru Cina, oleh pasukan tarian singa Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan, turut menarik perhatian ramai pelancong luar dan beberapa orang jurugambar yang tidak melepaskan peluang merakamkan persembahan unik yang penuh warna-warni itu.

Media Permata berkesempatan menemui beberapa orang pengunjung di sana, termasuk seorang guru yang memberitahu, hari pertama Tahun Baru Cina secara tradisinya mencerminkan satu permulaan yang baru, memberi peluang untuk meninggalkan masa lalu dan bergerak ke atas dengan resolusi baru.

Tarian Naga dan Singa memeriahkan lagi perayaan Tahun Baru Cina.
Tarian Naga dan Singa memeriahkan lagi perayaan Tahun Baru Cina.

pg08_160209_c

Pengunjung tokong turut memberikan angpau kepada Singa.  - Gambar oleh Muiz Matdani
Pengunjung tokong turut memberikan angpau kepada Singa. – Gambar oleh Muiz Matdani

pg08_160209_d pg08_160209_a

Adrian Wong turut berkongsi bahawa tahun baru ialah masa untuk menyambut dan menyatukan keluarga, mengingatkan kembali orang yang sudah meninggal dunia dan berharap untuk mendapat kemakmuran dan nasib yang baik.

Manakala itu, Alice Chai yang datang bersama anaknya, Felicia pula memberitahu, sudah menjadi adat beliau untuk mengunjungi Tokong Teng Yun pada hari pertama sambutan Tahun Baru Cina sebelum berkunjung ke rumah-rumah saudara mara.

Anak beliau pun suka menyaksikan keindahan warna-warni tarian singa dengan persembahan akrobatik yang dipersembahkan oleh kanak-kanak sekolah yang mempunyai bakat mendalam, tambahnya.

Di negara ini, sambutan dimeriahkan dengan majlis-majlis rumah terbuka yang bukan sahaja dikunjungi ahli keluarga malahan rakan-rakan pelbagai bangsa dan agama sebagai tanda perpaduan dan persefahaman bermasyarakat.

ARTIKEL YANG SAMA