Tokyo ucap tahniah atas kemenangan Tsai

Tokyo ucap tahniah atas kemenangan Tsai

TOKYO, 17 Jan – Jepun telah mengutus ucapan tahniah kepada presiden wanita pertama Taiwan, Tsai Ing-wen selepas beliau meraih kemenangan besar dalam pilihan raya, dengan Tokyo menjamin untuk memperkukuhkan hubungannya dengan jirannya.

Calon Parti Progresif Demokratik Tsai menyingkirkan pemerintah Kuomintang untuk mengambil jawatan presiden kelmarin ketika para pengundi menentang hubungan rapat dengan China.

Tokyo memuji pencapaiannya dalam satu kenyataan yang juga memberi penghormatan kepada demokrasi pulau itu.

“Kerajaan Jepun mengucapkan tahniah kepada Tsai atas kemenangannya, dan memuji pengimplementasian pilihan raya yang lancar yang menunjukkan demokrasi di Taiwan sudah mulai berakar umbi,” kata Menteri Luar Negeri Fumio Kishida dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat kelmarin.

“Taiwan adalah rakan penting dan sahabat berharga bagi Jepun. Kerajaan Jepun akan bekerja bersama untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dan pertukaran antara Jepun dan Taiwan,” tambahnya.

Beijing memberi respons dengan tegas atas pilihan raya Tsai, dengan jurucakap kementerian luar negeri Hong Lei memberi amaran yang ‘kerajaan China berpendirian tegas dan tidak akan bertoleransi dengan sebarang aktiviti penyokong pemisahan ke atas ‘kemerdekaan Taiwan’. Kishida hanya mengatakan Jepun berharap isu di sekitar Taiwan akan dapat ‘diselesaikan secara aman’. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA