Tolak ikat jamin Khairuddin, Matthias

Tolak ikat jamin Khairuddin, Matthias

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) – Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang Wen Chieh, yang menghadapi pertuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara, hari ini gagal dalam permohonan mereka untuk dibebaskan dengan ikat jamin.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Khairuddin dan Chang, yang diwakili peguam Zainur Zakaria supaya dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu keputusan dari Mahkamah Persekutuan berhubung persoalan undang-undang terhadap pertuduhan yang dihadapi mereka.

Mahkamah tertinggi negara akan mendengar permohonan itu pada 3 November ini. “Mahkamah ini terikat dengan Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) Akta 2012 (SOSMA), yang tidak membenarkan tertuduh diikat jamin. Oleh itu kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin,” kata hakim dan menetapkan 5 November ini untuk sebutan semula kes itu.

Terdahulu, Zainur dalam hujahannya berkata beliau diarahkan oleh Khairuddin dan Chang untuk memohon bagi diikat jamin sementara menunggu pendengaran di Mahkamah Persekutuan untuk menentukan sama ada mereka dituduh mengikut Kanun Keseksaan atau SOSMA.

“Tidak mungkin anak guam saya akan melarikan diri kerana pasport mereka telah dirampas oleh mahkamah,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail bagaimanapun membantah permohonan itu atas alasan mahkamah terikat dengan Seksyen 13 Akta Sosma dan wajar menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan.

Khairuddin, 53, dan Chang, 65, masing-masing memakai kemeja T biru dan kemeja putih berjalur hitam, yang digari, dilihat berbual-bual dengan anggota keluarga masing-masing.

Khairuddin, juga kelihatan sebak semasa berbual dengan isterinya, pelakon Datin Seri Umie Aida.

Khairuddin, dan Chang, didakwa melakukan kesalahan itu di lima lokasi – pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Perancis di Paris, Balai Polis Charing Cross London, United Kingdom, pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern, Balai Polis WaiChan, Hong Kong, dan ibu pejabat polis Cantoment, Singapura – antara 28 Jun hingga 26 Ogos tahun ini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan (Akta 547) dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun, jika sabit kesalahan.

ARTIKEL YANG SAMA