Tolong ambil ...

Tolong ambil peduli

PEKAN Muara adalah salah satu tempat yang penting lagi strategik bagi laluan masuk dan keluar perkapalan serta kapal penumpang mewah di negara kita. Seharusnya dengan ada pembangunan serta kemajuan ekonomi yang berlaku di sini, tempiasnya akan turun juga ke arah kebajikan serta kemajuan Pekan Muara itu sendiri.

Namun di beberapa kawasan yang berhampiran Pekan Muara itu sendiri, ada perkara yang wujud yang tidak kena pada tempatnya. Jalan-jalan raya yang penuh dengan lopak-lopak besar serta bangunan yang tidak terurus menyumbang kepada senario yang tidak diingini.

Adakah Pekan Muara tidak punya Lembaga Bandarannya sendiri? Adakah penduduk Pekan Muara hanya pentingkan diri sendiri hingga tidak mahu bekerjasama dengan ketua kampung malah penghulu mukim untuk memastikan keindahan dan kesejahteraan tempat yang mereka diami?

Adakah kerana Pekan Muara yang jauhnya hampir 30km dari ibu negara tidak layak untuk dikelinga dan dipeduli sama sekali?

Sesuatu harus dirancang dan dilaksanakan untuk mengembalikan kegemilangan dan kemakmuran Pekan Muara. Jangan hendaknya ada perasaan ‘aku-aku’, ‘kau-kau’ (nafsu-nafsi) menghalang pembinaan sekurang-kurangnya satu rumah tumpangan atau motel bagi menampung pelancong-pelancong yang cukup berpuas hati dengan bermalam di Pekan Muara sahaja. Bangun dan bangkitlah kita semua bagi merealisasikan bahawa Pekan Muara adalah sebahagian daripada daerah kita, sebahagian dari negara kita. Renungkanlah. – Ugan Brunei, Bandar Seri Begawan

ARTIKEL YANG SAMA