‘Tolong jangan penjara saya’

‘Tolong jangan penjara saya’

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) – Seorang wanita menangis teresak-esak selepas dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan memiliki rokok seludup.

Pemilik kedai runcit, Aminah Bebe Abdul Rahman, 37, yang mengaku bersalah melakukan kesalahan itu mula menangis ketika membuat rayuan kepada Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan supaya hukuman terhadapnya diringankan.

“Tolong jangan penjara saya Tuan. Saya minta maaf. Saya menyesal. Saya janji tak ulangi lagi kesalahan ini,” rayu Aminah Bebe di dalam kandang tertuduh sehingga terpaksa ditenangkan Majistret Ashraf Rezal.

Majistret Ashraf Rezal memerintahkan Aminah Bebe menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia tangkap pada 25 Ogos lepas dan sekiranya gagal membayar denda, dia perlu menjalani hukuman penjara enam tahun.

Aminah Bebe didakwa memiliki 3,380 batang (181 paket) pelbagai jenis rokok dilarang import bernilai RM426.80 tidak termasuk cukai RM1,871.66 di sebuah premis perniagaan di Flat Sri Sabah, Batu 3 1/2 Cheras, di sini kira-kira 9.15 malam pada Selasa lepas. Dia didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntuk hukuman denda maksimum RM8,536 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketika rayuan, Aminah Bebe yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana mempunyai anak berusia lapan bulan, menghidap penyakit darah tinggi dan menjaga ibu yang sakit. Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia Mohd Hatta Safar memohon hukuman setimpal kerana perbuatan itu merugikan negara ekoran tiada cukai yang dibayar.