Tomic budak bermasalah

Tomic budak bermasalah

MELBOURNE, 11 Jan (Reuters) – Pemain tenis terkemuka Australia, Bernard Tomic tampil meminta maaf selepas bertengkar dengan pekerja hotel berhubung penggunaan gelanggang tenis berhampiran Gold Coast menjelang Terbuka Australia.

Memetik laporan akhbar tempatan Gold Coast Bulletin, Tomic yang mara ke separuh akhir kejohanan Antarabangsa Brisbane minggu lalu, bertengkar dengan kakitangan RACV Royal Pines selepas pertikaian bersama ahli kelab membabitkan akses ke gelanggang tenis.

“Saya begitu fokus untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi perlawanan. Saya tidak sepatutnya bertindak sedemikian.

“Saya tidak berniat untuk menimbulkan masalah, jadi saya meminta maaf kepada ahli kelab. Terdapat sedikit salah faham sehingga mengganggu sesi latihan saya yang menyebabkan saya kecewa,” katanya.

Bagaimanapun, Royal Pines enggan mengulas lanjut berhubung isu ini.

Meskipun dicanang selaku antara bakal pemain terbaik dunia, pemain berusia 23 tahun itu tidak pernah lekang dengan pelbagai kontroversi sepanjang enam tahun kariernya.

Dia disingkirkan daripada pasukan Australia bagi saingan Piala Davis untuk kali kedua selepas secara terang-terangan mengkritik persatuan tenis negaranya di Wimbledon, tahun lalu.

Selain itu, dia juga pernah ditahan dan dituduh oleh polis Miami atas kesalahan menceroboh selepas mengadakan parti di bilik hotelnya, tahun lalu, namun kemudiannya tuduhan terbabit digugurkan.

ARTIKEL YANG SAMA