Tonga mulakan kerja pembersihan

WELLINGTON, New Zealand, 13 Feb – Tonga, sebuah negara pasifik hari ini memulakan kerja-kerja membersihkan kemusnahan akibat taufan yang telah merosakkan Bangunan Parlimen dan beberapa buah rumah dan taufan menjadi lebih kuat apabila ia bergerak menuju Fiji yang berhampiran.

Taufan Gita telah mengakibatkan bekalan tenaga elektrik terputus selepas melanda negara pulau itu di selatan ibu negara, Nuku’alofa dengan kelajuan angin 200 kilometer sejam apabila bertemu daratan.

Kira-kira 5,000 orang tinggal di pusat pemindahan semalaman, menurut para pegawai dan keadaan darurat diisytihar. Tidak ada laporan segera tentang kecederaan serius atau kematian.

Kekuatan taufan semakin meningkat dan diramalkan melanda beberapa kawasan di selatan kepulauan Fiji malam ini, meskipun mungkin melintasi pusat penduduk besar Fiji, termasuklah ibu negara, Suva.

Di Tonga, seorang penerbit, Pesii Fonua mengatakan pokok-pokok yang tumbang mengotori landskap dan ketiadaan pokok-pokok membuka pemandangan baharu. Dia berkata banyak rumah kehilangan bumbung atau rosak teruk. Ramai orang melalui malam yang menakutkan dan gembira masih hidup lagi, tambahnya.

Gambar yang diambil dari video menunjukkan bangunan parlimen yang rosak akibat taufan Gita di Nuku’alofa, Tonga kelmarin. – AP

“Kebanyakan mereka tidak pernah mengalami keadaan seperti ini,” ujarnya. “Ini benar-benar mengejutkan mereka.”

Ahli undangan bangsawan Tonga, Lord Fusitu’a memberitahu Perbadanan Penyiaran Australia, kekecewaannya terhadap kerosakan yang melanda bangunan parlimen.

“Badan-badan perundangan yang berikutnya telah selama bertahun-tahun telah menyarankan pembinaan bangunan baharu parlimen dan saya kira itu perlu sekarang ini,” ujarnya lagi.

Kira-kira 2,500 orang tinggal di dua kepulauan Fiji berdepan risiko, Pejabat Pengurusan Bencana Kebangsaan memberitahu Radio New Zealand. Pengarahnya, Anare Leweniqila berkata bekalan kecemasan iaitu makanan dan air sedang dikumpulkan dan menggesa orang tua dan kurang upaya mula berpindah ke pusat pemindahan.

Ribut semakin kuat sejak melanda Samoa dan American Samoa minggu lalu, yang mana ia mengakibatkan kerosakan pada bangunan, mengakibatkan terputus bekalan elektrik dan banjir. – AP