Tonggak pertahanan Perancis cedera

Tonggak pertahanan Perancis cedera

PARIS, 25 Mei – Persiapan pasukan Perancis menjelang Euro 2016 di laman sendiri mendapat tamparan hebat apabila tonggak pertahanan mereka, Raphael Varane mengalami kecederaan yang tidak membolehkannya untuk bermain pada kejohanan itu.

Tempatnya akan digantikan Adil Rami selepas pengendali Perancis, Didier Deschamps diberitahu oleh pengurusan Real Madrid yang pemain 23 tahun itu cedera di paha kiri.

Imbasan dilakukan ke atas pemain yang sudah mengumpul 29 kap bersama Perancis itu mengesahkan yang dia terpaksa berehat sehingga tiga minggu.

“Ujian dan imbasan pada pagi Isnin di hospital Rambouillet mengesahkan laporan awal pegawai perubatan Real Madrid,” kata Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) dalam satu kenyataan.

“Memandangkan tempoh pemulihan yang dianggap panjang untuk pasukan kebangsaan, Didier Deschamps tidak dapat mengekalkan Raphael Varane bagi Euro 2016.

Gambar fail Raphael Varane (kiri) berebut mendapatkan bola dengan Fernando Torres. – AP
Gambar fail Raphael Varane (kiri) berebut mendapatkan bola dengan Fernando Torres. – AP

“Sebagai tindakan susulan, pengendali membuat keputusan untuk menyerapkan Adil Rami dalam senarai 23 pemain.”

Perancis sebelum ini sudah kehilangan seorang lagi tonggak pertahanan, Mamadou Sakho dari Liverpool yang diketepikan kerana penggantungan akibat doping dan penyerang, Karim Benzema yang tidak disenaraikan kerana terbabit dalam kes ugutan video seks. – AFP