Tongzhou bakal dinaik taraf

Tongzhou bakal dinaik taraf

BEIJING, 2 Dis (Bernama) – Beijing akan memindahkan lebih banyak pejabat pentadbirannya ke kawasan pinggir bandar di timur Tongzhou, dengan ‘kemajuan besar’ bakal dicapai pada 2017, kata Suruhanjaya Perancangan Perbandaran Beijing.

Pembinaan sebuah pusat subsidiari pentadbiran di Tongzhou, yang terletak kira-kira 40 minit pemanduan dari pusat bandar, akan menarik kira-kira 400,000 penduduk bandar ke kawasan pinggiran pada masa akan datang, katanya dalam laman sesawang Pejabat Penerangan Kerajaan Perbandaran Rakyat Beijing, di sini hari ini.

Langkah itu akan membantu mengurangkan masalah urbanisasi di ibu negara, seperti memperlahankan pertumbuhan penduduk bandar dan memindahkan sebahagian fungsi bukan pentadbiran ke luar.

Untuk menampung penduduk baharu daerah Tongzhou, perkhidmatan awam seperti rawatan perubatan dan pendidikan di kawasan pinggir bandar akan ditingkatkan.

“Sebagai contoh, kami akan membina kemudahan awam yang lebih baik, termasuk hospital, sekolah rendah dan menengah serta lebih banyak kawasan hijau di Tongzhou berbanding apa yang terdapat di kawasan bandar bagi menarik minat orang ramai untuk bekerja dan tinggal di pinggir bandar,” kata Timbalan Pengarah Suruhanjaya, Wang Fei.

Beijing juga akan menaik taraf jalan antara pusat bandar dan Tongzhou untuk meningkatkan aliran lalu lintas.

Beliau berkata, selain daripada perubahan pentadbiran di bandar ini, langkah itu juga dijangka akan mendorong fungsi-fungsi lain seperti hartanah komersial dan pelancongan untuk berpindah ke pusat pentadbiran baharu.

Ibu negara China telah berusaha untuk menangani yang penyakit urban yang teruk seperti kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara, dengan membendung pertumbuhan penduduk dan memindahkan kemudahan ke kawasan luar bandar.

“Keputusan untuk membina pusat pentadbiran baharu ini juga berfungsi sebagai sebahagian daripada sumbangan modal ke pelan pembangunan bersepadu Beijing-Tianjin-Hebei,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA