Tonjol kebolehan dalam IT

Tonjol kebolehan dalam IT

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Nov – Kumpulan empat orang pelajar berkeperluan khas yang mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Cabaran Global IT bagi Belia Berbeza Keupayaan, bertekad untuk memberikan saingan hebat dan mengharumkan nama negara dalam pertandingan yang berlangsung di Yangzhou, Wilayah Jiangsu, China.

Kumpulan yang terdiri daripada empat orang pelajar bersama dua orang pegawai daripada Unit Pendidikan Khas (UPK) dan seorang guru dari Sekolah Menengah (SM) Rimba berlepas hari ini untuk mengambil bahagian dalam pertandingan yang bermula dari 21 hingga 25 November.

Kumpulan pegawai dan pelajar yang diketuai oleh Pegawai Pelajaran, Pengiran Omar bin Pengiran Haji Salleh berkata, penyertaan negara dalam pertandingan itu merupakan penyertaan kali keempat setelah menyertai pertandingan di Thailand, Korea dan Indonesia, sebelum ini.

Beliau menyatakan para pelajar yang dipilih menyertai pertandingan merupakan peserta terbaik dalam Cabaran IT Negara anjuran UPK pada Jun lalu dan yakin para peserta akan mampu memberikan yang terbaik.

Pengiran Omar juga mengakui saingan yang dihadapi oleh peserta negara nanti setentunya amat hebat selain berhasrat untuk memperbaiki keputusan dan pencapaian dalam pertandingan berkenaan.

Kumpulan pelajar bersama pegawai dan guru yang akan menyertai Cabaran Global IT bergambar ramai bersama ahli keluarga mereka sebelum berlepas ke China.
Kumpulan pelajar bersama pegawai dan guru yang akan menyertai Cabaran Global IT bergambar ramai bersama ahli keluarga mereka sebelum berlepas ke China.

Empat orang pelajar yang mewakili negara ke cabaran itu ialah Awang Ahmad Fa’ez bin Abdul Hadi dari SM Rimba, Awang Muhammad Azeezul Hakeem bin Yusof dari SM Sayyidina Hasan, Murphy Ching Sze Teng dari SM Sayyidina Husain dan Awang Muhammad Hariz bin Haji Hassan dari SM Sultan Sharif Ali.

Cabaran Global IT yang akan diadakan di Hotel Shangri-La itu akan disertai kira-kira 235 orang delegasi daripada 17 buah negara yang terdiri daripada 108 orang belia berbeza keupayaan, 57 orang pegawai dan pakar dasar IT serta 70 orang sukarelawan dari negara-negara rantau Asia dan Pasifik.

Semasa di China nanti, kumpulan pelajar dari Negara Brunei Darusalam akan bertanding dalam pelbagai acara iaitu e-Tools, e-Life Map, e-Design dan e-Creativity di mana para peserta akan dinilai secara individu dan juga secara berkumpulan.

Cabaran ini merupakan acara anjuran Korean Society for Rehabilitation of Persons with Disabilities (KSRPD) untuk mengurangkan jurang digital, menggalakkan penyertaan belia berbeza keupayaan dan mempromosikan pelaksanaan Strategi Lacheon to Make the Right Real for Persons with Disabilities in Asia and the Pacific during the new Asian and Pacific Decade of Persons with Disabilities, 2013-2022.

Pertandingan itu merupakan acara tahunan yang diadakan di negara-negara berlainan di rantau Asia-Pasifik untuk mempromosi kerjasama ICT dalam kalangan belia berbeza keupayaan.

Edisi di Jakarta, Indonesia tahun lepas menyaksikan peserta negara yang juga diwakili oleh empat orang pelajar berjaya membawa pulang satu pingat emas dan enam pingat perak. Pasukan Brunei juga berjaya menduduki tempat kedua daripada 24 pasukan dari 15 buah negara yang mengambil bahagian dalam Kategori e-Creative.

ARTIKEL YANG SAMA