Tonjol kemahiran terokai peluang perniagaan

Tonjol kemahiran terokai peluang perniagaan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jun – Para peserta Program Pembangunan Belia yang berjaya menamatkan latihan mereka disarankan untuk menggunakan ilmu pengetahuan yang diperoleh selama mengikuti latihan itu dengan sebaik-baiknya untuk meraih kejayaan dalam kehidupan mereka.

Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil ketika menyarankan demikian berkata, ilmu pengetahuan itu boleh digunakan sebagai asas kepada bukan sahaja kerjaya masa depan mereka tetapi untuk meneroka peluang-peluang perniagaan bagi meraih kejayaan di masa akan datang.

Mereka juga dialu-alukan untuk menceburi bidang keusahawanan sebagai memanfaatkan kemahiran yang diperoleh dengan sebaik-baiknya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perbarisan Tamat Kursus dan Penyampaian Hadiah bagi pelatih-pelatih terbaik Program Pembangunan Belia Sesi Januari 2016 yang berlangsung di Pusat Pembangunan Belia (PBB), Kampung Tanah Jambu, hari ini.

Datin Paduka Dr. Hajah Norlila turut menyeru para pelatih untuk menunjukkan kemahiran dan kebolehan mereka kepada para majikan apabila menjalankan penempatan kerja nanti supaya para majikan akan melihat keupayaan, ketekunan, disiplin dan kemahiran mereka di mana mereka boleh diberikan jawatan tetap oleh para majikan nanti.

Datin Paduka Dr. Hajah Norlila menyampaikan anugerah dan cenderahati kepada para penerima.
Datin Paduka Dr. Hajah Norlila menyampaikan anugerah dan cenderahati kepada para penerima.
Antara pelatih-pelatih yang menamatkan Program Pembangunan Belia itu.
Antara pelatih-pelatih yang menamatkan Program Pembangunan Belia itu.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, tenaga pengajar dan kakitangan PBB serta ibu bapa dan keluarga para pelatih. Seramai 136 orang pelatih Program Pembangunan Belia Sesi Januari 2016 diraikan pada majlis berkenaan.

Sepanjang program latihan selama enam bulan itu, mereka mengikuti pelbagai kursus termasuk informasi teknologi maklumat, Autocad, kulinari dan bankuet, pastri dan konfeksi, terapi kecantikan, rekaan fesyen dan teknologi, kimpalan dan fabrikasi, pemasangan paip air domestik, kursus penyaman udara serta kursus membaik pulih badan kenderaan yang bermula dari Januari hingga Jun 2016.

Pada majlis itu juga, seramai 29 orang pelatih telah menerima anugerah mereka sebagai hadiah galakan dan dua peserta iaitu Awangku Mohd Izzuddin bin Pengiran Haji Soffian Maharuddin dipilih sebagai pelatih lelaki terbaik keseluruhan manakala Dayangku Nurul Hafizah binti Pengiran Shamsul Bahrin pula dipilih sebagai pelatih perempuan terbaik keseluruhan.

Awangku Mohd Izzuddin dalam temu bual ringkas bersama Media Permata berkata perasaan gembira kerana telah dipilih sebagai pelatih lelaki terbaik keseluruhan dan menyatakan bahawa pengalaman menyertai program itu telah banyak mematangkannya serta berharap melalui kemahiran dan latihan yang dilalui, ia akan membantunya untuk memperoleh pekerjaan setelah menamatkan penempatan kerjanya nanti.

Manakala itu, Dayangku Nurul Hafizah pula berkata latihan semasa mengikuti program itu telah banyak merubah dirinya dan menanamkan sikap berdikari, berdisiplin dan bertanggungjawab dalam kehidupan hariannya serta berharap setelah menamatkan penempatan kerjanya nanti, beliau akan diberikan kepercayaan dan pekerjaan yang tetap.

ARTIKEL YANG SAMA